SHAH ALAM - Usul Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah demi mengangkat martabat mahkamah syariah di negara ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mahkamah syariah pada hari ini menjadi bahan ketawa kerana hukuman yang dijatuhkan gagal mencegah jenayah.
Katanya, hukuman yang dikenakan terhadap pesalah juga tidak mencerminkan kehendak hukum syarak. Sebagai contoh, seorang pesalah hanya dikenakan hukuman sebatan (maksimum) enam kali.
“Kerana itu bidang kuasa mahkamah syariah perlu ditingkatkan supaya hukuman boleh dijatuhkan sebagaimana dituntut Islam.




“Pelaksanaannya pula melibatkan kes-kes yang sudah dibicarakan di mahkamah syariah iaitu kesalahan sedia ada dan bukannya kesalahan yang baru,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim dalam blognya mengatakan RUU Persendirian tersebut adalah sebahagian langkah untuk membenarkan hudud di Kelantan.

Menurut Zaid, ia juga sebahagian daripada helah penipuan Abdul Hadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Umno dengan mengatakan RUU tersebut tiada kaitan dengan hudud.
Menurut Tuan Ibrahim, hukuman itu ditingkatkan bagi menepati hukum syarak, sama ada hukuman itu melibatkan hukum ta’zir atau hudud.

“Tetapi hukuman tersebut tidaklah sampai melibatkan hukum bunuh atau potong tangan bagi kesalahan mencuri sebagaimana peruntukan undang-undang,” katanya.
“Sedangkan dalam hukum hudud, hukuman boleh sampai kepada hukum bunuh, tetapi RUU in tidak sampai ke tahap itu,” katanya.

Katanya, ketika ini, mahkamah syariah juga sudah membicarakan kes-kes di bawah hukum hudud seperti kesalahan menuduh orang berzina dan minum arak. Namun hukuman dikenakan tidak menepati hukum syarak.
Mengulas mengenai bantahan orang bukan Islam terhadap RUU, Tuan Ibrahim berkata, undang-undang tersebut hanya tertakluk kepada orang Islam kerana ia berada di bawah mahkamah syariah.

“Mahkamah syariah tidak pernah membicarakan kes-kes melibatkan orang bukan Islam. Jadi saya fikir orang bukan Islam tidak perlu campur tangan atau menentang.

“Cuma dari segi peruntukan dalam  Parlimen, ia boleh dibahaskan. Tetapi menghalang orang Islam menyampaikan ajaran Islam itu bercanggah dengan  hak asasi manusia,” katanya.

Tambahnya, setiap individu bebas mengamalkan agamanya begitu juga dengan orang Islam.
“Kalau kita  berlapang dada untuk melihat perkara ini secara ilmiah, maka ia boleh diterima. Tetapi jika kita sudah ada sentimen anti atau tidak suka kepada Islam, itu yang menyebabkan kita tolak,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan, bahawa RUU itu adalah agenda politik Abdul Hadi, Tuan Ibrahim menegaskan, ia dilaksanakan kerana kewajipan sebagai orang Islam.

“Kalau kita fikir ia agenda politik, kita akan rugi, kerana Pas mungkin akan hilang pengundi Cina. Tetapi kita buat kerana tanggungjawab bukan sebab politik,” katanya