"SETELAH menemui Islam, saya tinggalkan semua kehidupan masa lampau untuk taat pada Allah," kata Aliza Kim.
Pengacara musim kedua Into Taqwa #PenghijrahanFenomena berusia 27 tahun ini, turut meninggalkan kerja modelling yang telah mengangkat namanya di United Kingdom.
Sekali pun pernah dikenali sebagai gadis Seventeen Magazine, Maxim, LIPS LUXE, Volume, Elle, Cleo, T3, Health & Beauty, Female, Hair 4 You 4 Me, Natural Beauty dan FHM, Aliza tidak keberatan meninggalkan dunia glamor demi mendekatkan diri pada Islam dan Allah.
"Malah saya tidak menyesal turut meninggalkan dunia lakonan," katanya.
Aliza Kim lahir sebagai anak tunggal seorang paderi Katolik. Berdarah kacukan Siam Cina, sebagai anak tunggal dia sentiasa menikmati sokongan keluarga termasuk keputusannya memilih Islam sebagai jalan hidup menuju akhirat.
"Keluarga menyokong penuh dan bersikap positif," katanya.
Aliza yang berkelulusan Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Universiti Colorado, Amerika Syarikat nekad melafazkan syahadah pada 2011.
Sebagai muslim, Aliza meninggalkan semua perkara yang menjadi kegemaran ketika masih hidup dalam dunia glamor.
"Saya tinggalkan arak kerana mabuk pun sudah tidak berguna lagi," katanya berlucu.
Mengenai pengaruh yang menguatkan lagi pegangannya kepada Islam, Aliza memberi nama dua ulama tersohor.
"Saya kagum pada syarahan Mufti Menk dan Sheikh Omar Suleiman kerana konsep keprihatinan Islam terhadap masyarakat," katanya.
Aliza kini menjadi sebahagian wajah TV Al Hijrah dalam destinasi #IslamIsFirstClass #SegalanyaBermula DiSini yang bakal bersiaran di TV Al Hijrah. - MYNEWSHUB.CC
No comments:
Post a Comment