Saturday 30 March 2013

Pelancaran Global Pelaksanaan Sistem Pengesanan Pensijilan Halal Malaysia


Kuala Lumpur- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperkenalkan penggunaan teknologi ‘Near Field Communication’ (NFC) melalui aplikasi ‘Halal Square’ dan rangkaian sosial ‘Halal Inside’,yang membolehkan umat Islam mengesan restoran yang memiliki sijil halal yang dikeluarkan  JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) melalui telefon pintar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom, berkata penggunaan aplikasi itu yang membolehkan pengesanan awal dilakukan melalui telefon pintar dari sejauh 500 meter, juga mampu mengesan sebarang penipuan membabitkan sijil halal kerana pengguna boleh melakukan semakan melalui teknologi terbabit.
Beliau berkata, kaedah baru itu selaras perkembangan masa kini di mana orang ramai menggunakan pelbagai gajet termasuk telefon pintar dan tablet  bagi mendapatkan maklumat.
“Melalui aplikasi ini, pengguna telefon pintar akan mendapat isyarat melalui getaran pada telefon bimbit apabila berada kira-kira 500 meter dari premis makanan yang mempunyai pensijilan halal Malaysia. Saya yakin ia mampu memacu perkembangan industri halal ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pelancaran Global Pelaksanaan Sistem Pengesanan Pensijilan Halal Malaysia berasaskan penggunaan teknologi NFC-Halal Square dan Halal Inside yang dibangunkan bersama JAKIM dan Malaysia Microelectronic Solutions Sdn Bhd (My-MS. Sdn Bhd).
Hadir sama Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Haji Othman bin Mustapha dan Ketua Pegawai Eksekutif My-MS, Shafiq Akmal Ismail.
Sementara itu, Shafiq berkata, teknologi NFC adalah satu sambungan atau komunikasi dua peranti dengan menyentuh satu sama lain atau mendekatkan pada jarak tertentu dan kini diguna pakai di luar Negara.
Katanya, melalui teknologi pintar itu, jika ada salah guna sijil halal Malaysia, maklumatnya akan terus disalurkan kepada JAKIM untuk tindakan lanjut.

No comments:

Post a Comment