Saturday 23 March 2013

OPPSSS….SELIDIK DULU, BILA DAH SAH… BARU “ ON”



Tanggal 18 Mac 2013 Jakim melalui Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK)  telah melancarkan Kempen Sah Nikah Sah Nasab bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Turut hadir dalam majlis perasmian ini ialah Y.Bhg Dato’ Haji Othman bin Mustapha (Ketua Pengarah JAKIM), Y.Bhg Prof Dato’ Sri Dr Zaleha binti Kamarudin (Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA) merangkap Pengerusi Panel Isu Semasa Wanita Islam (PISWI), Y.Bhg Tuan Haji Razali bin Shahabudin (TKP Pembangunan Insan), Y.Bhg Tuan Haji Awang Khalid bin Mat Ali (Pemangku TKP Pengurusan), Pengarah-pengarah dan Ketua-ketua Penolong Pengarah Bahagian di Jakim, Pengarah-pengarah Jabatan Agama Islam Malaysia, Ketua Pendaftar Nikah, Cerai, Ruju’ (KPNCR) seluruh Malaysia, Ahli-ahli PISWI, ahli-ahli akademik dari IPT, IPTS dan para NGO’s.

Pada dasarnya, kempen ini berfungsi sebagai platform untuk memberi pendedahan berterusan kepada masyarakat Islam di Malaysia bahawa  tanggungjawab dan kepentingan menjaga nasab keturunan adalah suatu tuntutan wajib kepada setiap individu muslim.  Kempen ini juga bertujuan  memberi kesedaran  kepada masyarakat Islam bahawa kewujudan pengurusan hal-ehwal kekeluargaaan yang diselaraskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan dilaksanakan perkhidmatannya terus kepada masyarakat di setiap Negeri oleh Jabatan Agama Islam berkaitan adalah semata-mata bertujuan untuk memastikan setiap pernikahahan mahupun perkara lain yang melibatkan kekeluargaan adalah memenuhi tuntutan Syarak dan pematuhan peruntukan Undang-undang pentadbiran kekeluargaan Islam. Pencapaian dan matlamat utama pengurusan kekeluargaan ini adalah bertepatan untuk mendapat kebahagiaan, keselamatan dan keredhaan Allah S.W.T samada di dunia mahupun di akhirat.

Melalui kempen ini diharapkan dapat memupuk kefahaman yang tinggi, disebar panduan dan maklumat kepada masyarakat mengenai kepentingan institusi keluarga bahagia sebagai salah satu komponen utama ke arah mewujudkan negara maju. Kempen ini juga dapat meningkatkan kefahaman masyarakat bahawa setiap prosedur mahupun pekeliling serta pelbagai penyerahan dokumen sebelum kebenaran bagi melaksanakan akad nikah bukan bertujuan menyusahkan masyarakat tetapi bertujuan untuk pengesanan bagi kesahihan ke arah menjaga dan memberi hak bertepatan dengan tuntutan Syarak dan maslahah Ummah.

Penyampaian maklumat terkini mengenai penguatkuasaan kesalahan-kesalahan berkaitan kekeluargaan di dalam Ordinan/Enakmen/Akta Undang-undang Keluarga  Islam dan Jenayah Syariah di Negeri-negeri juga diharapkan dapat meningkatkan kesedaran serta memberi pendedahan agar umat Islam sentiasa melaksanakan pematuhan dan mengelak daripada terjebak dalam sindiket pernikahan palsu atau bersekedudukan tanpa nikah, yang sudah pasti akan memberi impak besar ke atas kesucian dan kelangsungan nasab keturunan umat Islam.
Sebanyak 4 kertas kerja telah dibentangkan iaitu :

1.    Pengurusan Nikah di Malaysia : Satu Pengalaman”
Oleh : Y.Bhg. Ustazah Sabariah bt Salleh
(Ketua Penolong Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti Jakim)
2.    Kedudukan Anak Tak Sah Taraf : Dari Aspek Pandangan Syarak, Nasab dan Pewarisan serta Kekeluargaan Islam”
Oleh : Sahibus Samahah Dato’ Haji Abdul Majid bin Omar
(Timbalan Mufti Negeri Selangor)
3.     Kedudukan Anak Tak Sah Taraf: Dari Aspek Perundangan
Oleh : Y.BhgTuan Abas bin Nordin
(Pengarah Bahagaian Pendaftaran, Keurusetiaan & Rekod, JKSM)
4.    Isu-Isu Mengenai Pendaftaran Kelahiran Anak

Oleh : YBhg. Tn. Hj. Nik Hassan Fauzi b. Haji Nik Abdullah
Penolong Pengarah Bahagian kelahiran, Kematian dan Anak Angkat,  Jabatan Pendaftaran Negara)
Dalam majlis yang sama juga, YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut melancarkan portal e-familyexpert.com sebagai tanda sokongan kepada kempen Sah Nikah Sah Nasab. Portal ini dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Professor Dato’ Sri Dr. Zaleha Kamaruddin, Dr. Mahyuddin Ismail, pensyarah UMP yang mengikuti program pasca kedoktoran di UIAM dengan sokongan teknikal daripada pensyarah Kulliyyah Teknologi dan Komunikasi Maklumat yang terdiri daripada Prof. Madya Dr. Mohamad Fauzan Noordin, Prof. Madya Dr. Roslina Othman, Dr. Amelia Ritahani Ismail dan Puan Nor Azura Zakaria. Ia merupakan cetusan idea Prof. Dato’ Sri Dr. Zaleha setelah menyedari betapa masyarakat memerlukan satu mekanisma yang mampu berperanan sebagai penasihat dan pembimbing yang terdiri daripada pakar-pakar di dalam bidang kekeluargaan dalam mengharungi kehidupan rumahtangga. Kekangan masa, kewangan dan karenah birokrasi menyukarkan individu-individu yang menghadapi masalah rumahtangga untuk bertemu dengan pegawai-pegawai di jabatan yang terlibat.
YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyampaikan ucapan perasmian
 Y. Bhg Dato’ Othman bin Mustapha, KP Jakim menyampaikan ucapan alu-aluan
   Barisan VVIP
Para peserta khusyuk mendengar amanat yang disampaikan
Barisan peserta muslimat yang tekun mendengar pembentangan kertas kerja
Barisan panel pembentang kertas kerja di samping moderator Us. Mohamad Zamri bin Mohamed Syafik
Y.Bhg Prof Dato’ Sri Dr Zaleha binti Kamarudin menyampaikan cenderamata kepada YB Menteri bagi pihak UIA
  Giliran Y.Bhg Dato’ Haji Othman bin Mustapha (Ketua Pengarah JAKIM) menyampaikan cenderamata kepada YB Menteri

No comments:

Post a Comment