Wednesday, 24 August 2016

Keperibadian Da’ie dan Tugas Utama


Da’wah adalah tugas yang sangat mulia kerana ianya adalah tugas Para Anbiya’ dan Para Mursalin. Ia adalah amalan yang sangat penting untuk mendekatkan diri kepada Allah bahkan memberikan jalan penyelesaian kepada kekusutan manusia. Nabi Lut alaihissalam bukan sekadar menyalahkan perbuatan kaumnya dan mengkritik kesalahan mereka tetapi turut mengemukakan alternatif bagi menyelesaikan permasalahan mereka dengan menawarkan anak perempuannya. Hal ini menunjukkan para pendakwah itu bukan hanya mengkritik, tetapi juga mengemukakan penyelesaian dan alternatif agar dapat mengubah perangai buruk umatnya.

Firman Allah;
وَجَاءَهُ قَوْمُهُ يُهْرَعُونَ إِلَيْهِ وَمِن قَبْلُ كَانُواْ يَعْمَلُونَ السَّيِّئَاتِ قَالَ يَا قَوْمِ هَؤُلاء بَنَاتِي هُنَّ أَطْهَرُ لَكُمْ فَاتَّقُواْ اللَّهَ وَلاَ تُخْزُونِ فِي ضَيْفِي أَلَيْسَ مِنكُمْ رَجُلٌ رَّشِيدٌ
“Dan datanglah kepadanya kaumnya dengan bergegas-gegas. Dan sejak dahulu mereka selalu melakukan perbuatan-perbuatan yang keji. Lut berkata; Hai kaumku, inilah puteri-puteri (negeri)-ku mereka lebih suci bagimu, maka bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu mencemarkan (nama)-ku terhadap tamuku ini. Tidak adakah di antaramu seorang yang berakal.” (surah Hud ayat 78)

Siapakah Da’ie?

Da’ie adalah seorang yang mengajak kepada agama Allah iaitu setiap individu Muslim sama ada lelaki atau perempuan yang melaksanakan tugas Anbiya’ mengajak manusia supaya mengikut agama Allah di dalam kehidupan di atas dunia ini. Firman Allah:
لِّكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا هُمْ نَاسِكُوهُ فَلَا يُنَازِعُنَّكَ فِي الْأَمْرِ وَادْعُ إِلَىٰ رَبِّكَ إِنَّكَ لَعَلَىٰ هُدًى مُّسْتَقِيمٍ
“Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariaatmu; Dan ajaklah manusia kepada Tuhan kamu sesungguhnya kamu pasti berada di atas petunjuk jalan yang lurus.” (surah al-Hajj ayat 67)

Tugas da’wah ini adalah suatu tugas yang berat dan susah. Bukan semua orang yang dapat menjalankan tugas ini dengan baik dan cemerlang. Dengan kata lain tugas ini hanyalah dapat dipikul oleh mereka yang benar-benar mempunyai sifat-sifat keikhlasan, pengorbanan yang tinggi dan sebagainya daripada ciri-ciri yang melayakkan ke arah itu. Rasulullah  merupakan da’ie yang pertama setelah Allah menjadikan Islam itu sebagai Ad-Din untuk menjaga kehidupan manusia di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat sebagai mana firman Allah;

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيرًا. وَدَاعِيًا إِلَى اللَّهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجًا مُّنِيرًا
“Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan juga sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufiq yang diberi-Nya; dan sebagai lampu yang menerangi.” (surah al-Ahzab ayat 45-46 )

Dengan kata lain bahawa tugas dakwah ini juga merupakan tugas yang dipikul oleh umat yang beriman. Mereka perlu memiliki persediaan yang lengkap dan tersusun supaya dapat menjalankan tugas tersebut dengan baik dan berkesan. Tanpa persediaan yang cukup dan bersistem amatlah dikhuatiri dan ditakuti bahawa da’ie tersebut tidak akan dapat menjalankan tugas dakwahnya dengan baik dan sempurna. Bahkan ia akan kecundang di tengah perjalanan.

Kenapa Mesti Berda’wah?

Kerana ganjarannya sangat besar. Firman Allah:
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
“Dan siapakah yang lebih baik kata-katanya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan amal soleh dan dia berkata sesungguhnya aku adalah daripada orang Islam.” (surah Fussilat ayat 33)

Di dalam hadith juga disebut pahala penda’wah sama seperti orang yang mengikutnya. Sabda Nabi ;
مَنْ سَنَّ سُنَّةَ خَيْرٍ فَاتُّبِعَ عَلَيْهَا فَلَهُ أَجْرُهُ وَمِثْلُ أُجُورِ مَنِ اتَّبَعَهُ غَيْرَ مَنْقُوصٍ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا
“Sesiapa yang menunjukkan kebaikan maka baginya pahala seperti orang yang menuruti (melakukan), tidak dikurangi pahala ganjarannya sedikitpun.” (riwayat al-Tirmidzi)

Tugas berda’wah adalah untuk menyahut seruan Nabi ;
بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً
“Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat.” (riwayat al-Bukhari)

Pada penda’wah yang ikhlas menyatakan kebenaran, supaya manusia mendengar kebenaran terlepas daripada bebanan di hadapan Allah kerana usaha dan keringat mereka mengislah masyarakat. Mereka mendapat kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

Apakah Kelengkapan Para Da’ie?

Ayat-ayat Allah adalah berat dari segi amanah dan beban bagi rohani manusia. Manusia memerlukan kekuatan untuk memikulnya. Oleh kerana dakwah adalah untuk melaksanakan ayat Allah Taala dan menyampaikannya, maka dakwah juga adalah tugas yang berat yang memerlukan kekuatan. Bagi memiliki kekuatan untuk menunaikan tugas dakwah, perlulah ada persiapan.

Ayat berikut mengajar persiapan mental, rohani dan karakter bagi pendakwah;


يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ. قُمِ اللَّيْلَ إِلاَّ قَلِيلا. نِصْفَهُ أَوِ انقُصْ مِنْهُ قَلِيلا. أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلا. إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلا ثَقِيلا. إِنَّ نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْءًا وَأَقْوَمُ قِيلا. إِنَّ لَكَ فِي النَّهَارِ سَبْحًا طَوِيلا. وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ وَتَبَتَّلْ إِلَيْهِ تَبْتِيلا. رَبُّ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ لا إِلَهَ إِلاَّ هُوَ فَاتَّخِذْهُ وَكِيلا. وَاصْبِرْ عَلَى مَا يَقُولُونَ وَاهْجُرْهُمْ هَجْرًا جَمِيلا
“Wahai orang yang berselimut (Muhammad)! Bangunlah (solat) di malam hari kecuali sedikit (daripadanya). (Iaitu) satu perdua atau kurangilah dari satu perdua itu sedikit. Atau lebih dari satu perdua itu dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyu’) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan. Sesungguhnya kamu pada siang hari mempunyai urusan yang panjang (banyak). Sebutlah nama Tuhanmu dan beribadatlah kepada-Nya dengan penuh ketekunan. (Dia-lah) Tuhan masyriq dan maghrib, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, maka ambillah Dia sebagai pelindung. Dan bersabarlah terhadap apa yang mereka ucapkan dan jauhilah mereka dengan cara yang baik.” (surah al-Muzammil ayat 1-10)

Persiapan rohani ialah dengan bersolat malam, membaca al-Quran, berzikir dan ibadah umum yang lain. Pendakwah mestilah mempunyai program bagi melaksanakan amal-amal ini bagi memastikan kewujudan kekuatan yang berterusan bagi istiqamah di jalan dakwah. Sebagaimana pendakwah tekun dalam projek dakwah, dia juga mesti tekun dalam amal ibadahnya. Rasulullah  orang yang paling sibuk dengan tugas dakwah tetapi tidak lengah dengan ibadah tambahannya. Jangan jadikan kesibukan melaksanakan projek dakwah sebagai alasan untuk meninggalkan ibadah-ibadah sunnah. Dalam beribadah, kita dianjurkan agar mempelbagaikannya bagi mengelakkan dari jemu dan bosan. Jika sudah penat bersolat, gantikan dengan bertilawah atau berzikir, jika telah penat bertilawah gantikan pula dengan zikir dan ibadah lain dan seterusnya.

Persiapan ini adalah untuk membina rasa kebergantungan terhadap Allah Taala sebagai pelindung, memiliki sifat sabar dan keindahan akhlak. Pendakwah yang malas beribadah akan kurang kebergantungan kepada Allah Taala, kurang sabar dan tidak halus budinya. Ertinya juga, ibadah seorang pendakwah mestilah mestilah memberi kesan kepada jiwa dan karakter. Justeru, tarbiyah haruslah mengiringi dakwah kerana kedua-duanya ibarat ikatan yang tidak boleh dipisahkan. Aspek pertarbiyahan mestilah dilakukan secara amali supaya para da’ie ini dapat membiasakan diri sebelum terjun kebidang da’wah yang lebih besar dan mencabar. Ini adalah kerana suatu perjuangan yang amat besar adalah mustahil dapat dilaksanakan dan dilakukan dengan hanya teori semata-mata tanpa disertakan dengan latihan praktikal.

Seorang da’ie juga sekurang-kurangnya mestilah melengkapkan dirinya dengan tiga perkara berikut seperti yang dinyatakan oleh Dr. Abd al-Karim Zaidan di dalam kitabnya “Usul al-Dakwah”;
  1. Kefahaman yang terperinci
  2. Keimanan yang mendalam
  3. Hubungan yang erat dengan Allah

Seorang da’ie wajib mempunyai kefahaman yang terperinci dan menyeluruh kepada tajuk da’wah iaitu Islam yang mahu diseru manusia kepadanya. Ulama meletakkan satu kaedah yang sangat menarik;
فاقد الشيء لا يعطيه
“Seseorang yang tidak memiliki sesuatu tidak dapat memberikannya kepada orang lain.”

Di atas dasar ini bagaimana seorang da’ie mahu menerangkan tentang Islam jika sekiranya dia sendiri tidak memahaminya. Selain itu mereka juga harus peka terhadap perkembangan semasa. Dalam keadaan teknologi dan sistem komunikasi yang tidak canggih, Rasulullah  tetap mengambil tahu akan peristiwa yang berlaku kepada kerajaan Parsi dan Rom.


Seorang da’ie juga mestilah meyakini bahawa Islam yang diserunya adalah agama dan petunjuk Allah yang benar yang tidak ada selain daripadanya. Sama ada dalam perkara yang berkait dengan aqidah, syariah ataupun akhlak dan moral. Dia mestilah meyakini bahawa Islamlah satu-satunya agama yang boleh menyelamat dan menyelesaikan segala masalaah yang berlaku di dalam masyarakat manusia daripada dahulu, kini dan sehinggalah dunia ini ditamatkan oleh Allah.

Seterusnya seorang da’ie mestilah mempunyai hubungan yang erat dengan Allah kerana Dia-lah sahaja tempat bergantung dan memohon pertolongan dan Dia-lah sahaja yang boleh membuka pintu hati manusia untuk menerima agama-Nya. Seorang da’ie hanya berusaha untuk menyampaikan agama Allah adapun yang memberikan hidayah adalah Allah.

Keperibadian Da’ie

Seorang da’ie mestilah mempunyai keperibadian Islam yang sejati yang diterangkan di dalam al-Quran dan diperincikan oleh Rasulullah  di dalam Sunnahnya.

Firman Allah;
 لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah sallallahualaihi wasallam itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”  (surah al-Ahzab ayat 21)


Peranan akhlak memainkan faktor yang penting dalam mencorakkan tingkah laku dan kehidupan seseorang. Setiap tingkah laku yang lahir daripada manusia sebenarnya adalah cernaan daripada apa yang tersemat di dalam dirinya. Sebagai insan yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus kehidupan di dunia serba mencabar ini, pastinya nilai murni yang mantap adalah pengaruh utama dalam membentuk kualiti danstandard value diri ini di dunia bahkan melewati sempadan akhirat. Tanpa syak pula, nilai murni tersebut dengan segala ciri dan sifatnya adalah bertunjangkan akhlak Islami yang tulen.

Sekurang-kurangnya seorang Daie itu mestilah mempunyai akhlak seperti berikut;
  1. Benar (يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اتَّقُواْ اللَّهَ وَكُونُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ)
  2. Sabar (وَاسْتَعِينُواْ بِالصَّبْرِ وَالصَّلاةِ)
  3. Belas kasihan (أُبَلِّغُكُمْ رِسَالاتِ رَبِّي وَأَنصَحُ لَكُمْ وَأَعْلَمُ مِنَ اللَّهِ مَا لاَ تَعْلَمُونَ)
  4. Merendah diri ( إِنَّ الله لاَ يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالاً فَخُورًا )
Islam menganjurkan sikap hormat terhadap kepercayaan dan amalan agama lain. Walaupun, kita meyakini kebenaran agama kita dan keagungan Allah, namun ia bukan satu alasan untuk kita memperlekeh dan mempersenda amalan atau kepercayaan penganut agama lain. Dalam proses ‘culture engagement’, tidak perlu bersifat apologetik dengan mengatakan semua agama adalah sama. Allah Taala mengatakan; (كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ), “Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka” yang bermaksud keyakinan setiap penganut agama bahawa agama mereka adalah benar dari yang lain adalah satu perkara yang lumrah. Kita selaku umat Islam tidak perlu merasa marah terhadap orang bukan Islam yang mengatakan agamanya ialah agama sebenar, tugas kita ialah memastikan Islam itulah pegangan umat manusia yang sebenarnya.



Asas pada keharmonian kehidupan beragama dan dialog antara agama bukan terletak pada pengiktirafan terhadap persamaan darjat semua agama tetapi pada keupayaan untuk menghormati dan bertoleransi terhadap agama lain walaupun kita meyakini kebenaran agama kita.
    Keutamaan Da’wah di Zaman Kini

    Zaman sekarang ini sangat mencabar kepada Da’ie kerana pertembungan antara Islam dan Kufur semakin getir. Di zaman Islam tidak mempunyai kerajaan dan pemerintahan; maka di sana terdapat beberapa aspek yang mesti diberikan keutamaan oleh Da’ie di dalam medan da’wah pada zaman sekarang, antaranya ialah:
    1. Memperbetulkan aqidah
    2. Memberikan kefahaman yang betul dan tepat berkenaan dengan ajaran Islam
    3. Menjawab syubhah dan kekeliruan terhadap Islam
    4. Bicara dengan mad’u mengikut tahap pemikirannya
    5. Menilai fiqh aulawiyyaat dan fiqh muwazanah
    Kaedah da’wah yang aman adalah lebih diutamakan daripada kekerasan. Namun, ini bukan bermaksud bahawa jihad itu tidak perlu, atau orang yang berdakwah secara aman lebih utama dari para mujahidin. Hakikat ini disokong dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyah dan kesannya. Sejarah mencatatkan bahawa jumlah kemasukan Islam selepas Perjanjian Hudaibiyah lebih ramai daripada jumlah keseluruhan yang masuk Islam sebelum perjanjian. Sejarah juga membuktikan bahawa kaedah dakwah secara aman adalah juga berkesan seperti yang berlaku ke atas masyarakat Madinah, di rantau Melayu dan banyak bumi yang lain.
    Firman Allah;
    وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ. وَإِن يُرِيدُواْ أَن يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللَّهُ هُوَ الَّذِيَ أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ
    “Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan jika mereka bermaksud hendak menipumu, sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dia-lah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan orang-orang beriman.” (surah al-Anfal ayat 61-62)
    Seorang da’ie juga perlu mengetahui segala perancangan dan tipu daya yang dilakukan oleh mereka yang cuba menghancurkan Islam serta meleburkan umatnya sama sekali. Bagaimanapun sikap hazar atau berhati-hati yang sederhana adalah wajar dan tidak mengapa tetapi janganlah sampai mengakibatkan pendakwah hilang peluang-peluang dakwah yang berharga atau aset-aset yang bermanfaat.
    Penutup
    Firman Allah;
    وَإِنَّ يُونُسَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ. إِذْ أَبَقَ إِلَى الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ. فَسَاهَمَ فَكَانَ مِنْ الْمُدْحَضِينَ. فَالْتَقَمَهُ الْحُوتُ وَهُوَ مُلِيمٌ. فَلَوْلا أَنَّهُ كَانَ مِنْ الْمُسَبِّحِينَ. لَلَبِثَ فِي بَطْنِهِ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ
    “Sesungguhnya Yunus benar-benar salah seorang Rasul. (Ingatlah) ketika dia lari ke kapal penuh muatan. Kemudian ia ikut mengundi lalu dia termasuk orang-orang yang kalah dalam undian. Maka ia ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tercela. Maka kalau sekiranya dia tidak termasuk orang-orang yang banyak mengingat Allah. Nescaya dia akan tetap tinggal di perut ikan itu sampai hari berbangkit.” (surah al-Shaffaat ayat 139-144)

    Ayat ini yang menjadi pengakhiran tulisan ini menceritakan tentang kisah Nabi Yunus alaihissalam yang meninggalkan kaumnya kerana kedegilan mereka. Disebabkan Nabi Yunus ‘lari’ dari kaumnya, Allah ‘menghukum’nya dengan ditelan oleh ikan. Melarikan diri dari medan dakwah semata-mata kerana mengikut perasaan tanpa pertimbangan terhadap maslahat adalah satu perbuatan yang boleh menarik kemurkaan Allah. Allah menyatakan bahawa sunnah dakwah ini penuh dengan kesukaran. Adalah menjadi kewajiban atas para pendakwah untuk memahami sunnah ini dan bersabar. Melarikan diri atau merajuk adalah petanda putus asa dan tidak disukai oleh Allah.


    Kata Saidina Ali bin Abi Talib;

    لاَ يَعْدَمُ الصَّبُورُ الظَّفَرَ وَإِنْ طَالَ بِهِ الزَّمَانُ
    “Orang sabar tidak akan terlepas daripada keberhasilan, walaupun mungkin ia memakan waktu lama.”

    Adalah penting bagi pendakwah untuk memperbanyakkan ibadah dan mendekatkan hubungan dengan Allah sepanjang masa. Sehingga, jika ia melakukan kesalahan atau dosa, ibadah dan hubungannya yang rapat itu memelihara dirinya daripada azab atau kemurkaan Allah, atau meringankan hukuman atas perbuatannya, atau menjadikan Allah taala lebih kasihan dari memurkainya.

    Biodata Penulis

    Ustaz Muhammad Khalil bin Abdul Hadi dilahirkan di Terengganu pada tarikh 20 Mac 1977. Beliau merupakan anak sulong kepada Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Alumni Universiti Iman, Yaman ini juga adalah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).

    No comments:

    Post a Comment