BAGI golongan Islamis konservatif, Recep Tayyip Erogan bukanlah
contoh pemimpin Islam yang baik. Dia dianggap telah mengecewakan ‘Islam’.
Apabila partinya, AKP menang pilihan raya Turki 2002, Erdogan dijangka akan menyambung usaha bekas perdana menteri, Necmettin Erbakan membawa Turki kembali menjadi sebuah negara Islam.
Apabila partinya, AKP menang pilihan raya Turki 2002, Erdogan dijangka akan menyambung usaha bekas perdana menteri, Necmettin Erbakan membawa Turki kembali menjadi sebuah negara Islam.
Ini kerana, dia adalah kader Mili Gorus, sebuah gerakan politik
dakwah yang diasaskan Erbakan. Mereka juga pernah berjuang bersama dalam Refah,
parti Islam pimpinan Erbakan yang memenangi pilihan raya Turki pada 1995.
Malah Erdogan juga ketika itu menang pilihan raya datuk bandar
Istanbul atas tiket Refah.
Dengan kemenangan AKP, golongan Islamis konservatif mengharapkan
Erdogan akan menyambung usaha mentornya itu menjadikan Turki sebuah
negara Islam dengan sistem dan undang-undang syariah dijadikan asas
Perlembagaan.
Bagaimanapun, setelah dilantik perdana menteri pada Mac 2003,
Erdogan dalam ucapan pertamanya di khalayak ramai di pentas yang berlatar
belakang potret Kemal Ataturk, dengan tegas telah bersumpah akan mempertahankan
sekularisme sebagai dasar Perlembagaan Turki.
Dia kemudian membuat kunjungan hormat ke pusara Ataturk, tindakan
yang serta-merta meranapkan rasa hormat, kagum dan bangga sekalian pendokong
gerakan Islam konservatif di seluruh dunia terhadapnya. Mengapa Erdogan berubah?”
“Tidak, Erdogan tidak berubah tetapi orang yang salah faham
terhadapnya,” kata penganalisis politik Turki, Dr. Mohd Iqbal Abdul Wahab dari
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Menurut Mohd Iqbal, pengalaman selama bertahun- tahun melihat
cabaran yang tidak berkesudahan bagi gerakan politik Islamis Turki, cukup bagi
Erdogan untuk dia mengubah pendekatan secara lebih strategik.
"Di tempat kita secara umumnya, kalau nak berjuang untuk
Islam mesti ada Negara Islam, syariah, hudud, berserban dan berjubah ... tetapi
Erdogan melihat dalam konteks lain, yang lebih sesuai dengan keadaan di Turki.
Kalau menggunakan istilah-istilah yang sama, bukan saja partinya, umurnya
sendiri pun mungkin tidak panjang," katanya. Mohd Iqbal bukan berseloroh.
Pada 17 September 1961, Perdana Menteri Turki, Adnan Menderes
yang memerintah 22 Mei 1950 hingga 27 Mei 1960 telah dihukum gantung sampai
mati hanya kerana menyebut “saya seorang Islamis” dalam ucapannya.
Disebabkan kata-katanya itu, Menderes ketika masih perdana
menteri, dipaksa meletak jawatan, ditangkap dan dihukum mati oleh Mahkamah
Perlembagaan atas arahan pihak tentera.
Ini kerana di Turki, tentera (Turk Silahli Kuvvetleri)
berperanan sebagai penjaga sekularisme dalam Perlembagaan. Mereka akan
bertindak terhadap sesiapa sahaja yang dikira telah melanggar prinsip
sekularisme yang sekali gus dianggap telah mengingkari Perlembagaan Turki.
Perlembagaan yang diasaskan pemerintahan Ataturk pada 1937 itu
begitu rigid dan tegar pegangan sekularismenya. Prinsip yang digelar Kemalisme
ini berteraskan nilai-nilai republikanisme, nasionalisme, populisme, etastisme,
revolusionisme dan sekularisme.
Bagi memastikan tiada neo-Ottomanisme yang sebelum itu sudah
berakar umbi selama 624 tahun (1299-1923) di bumi Turki, Artikel 14
Perlembagaan mentakrifkan sebarang elemen selain sekularisme yang boleh
ditafsirkan sebagai ideologi, dianggap bercanggah dengan Perlembagaan Turki dan
sesiapa yang melanggar Perlembagaan, boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Meskipun yang disebut itu ideologi, yang sebenarnya mahu
dicegah ialah Islam. Itulah sebabnya pernyataan undang-undang itu begitu
terbuka, mudah untuk diambil tindakan atas apa yang ditafsirkan oleh pihak
tentera sebagai ideologi,” kata Mohd Iqbal lagi.
Bukan itu sahaja. prinsip sekularisme diamalkan Turki adalah
sangat keras, lebih keras berbanding apa yang ada di Barat sendiri, kata Prof.
Dr. Mohd Redzuan Othman, Naib Canselor Unisel yang sudah bertahun- tahun
menjalankan kajian mengenai politik Turki.
Sebagai contoh katanya, ketika pengambilan rekrut tentera,
setiap pemohon akan diperiksa dahi dan lututnya dan jika didapati ada tanda
solat, pemohon itu akan ditolak begitu sahaja meskipun memenuhi syarat-syarat
kelayakan yang lain.
Begitu tegar sekularisme dalam tentera Turki, mereka – meskipun
beragama Islam – tidak akan jawab salam kerana menjawab salam sahaja sudah
dianggap muslim yang ekstrem.‘Itulah … ia bergantung pada tafsiran mereka
sendiri,” kata Mohd Iqbal pula.Dalam keadaan ini, apa ruang bagi Erdogan untuk
mengisytiharkan semangat Islamnya jika dia mahu terus memerintah?
“Dia sendiri pernah dipenjarakan dan dilarang berpolitik untuk
tempoh beberapa lama ketika bersama Refah,” kata Mohd Iqbal.Apa yang dilalui
Erbakan jauh lebih getir.
Sepanjang memperjuangkan negara Islam, Erbakan telah menubuhkan
sekurang-kurangnya lima parti yang empat daripadanya diharamkan oleh mahkamah
atas perintah tentera.
Erbakan – bekas jurutera ternama di Jerman – memulakan
perjuangan politik Islam menerusi Parti Mili Nizam yang ditubuhkan pada 1970.
Apabila parti itu diharamkan, dia tubuh Parti Mili Selamat pada 1972. Selepas
parti itu juga diharamkan dan dia diarah letak jawatan dalam Kabinet Bulent
Ecevit serta dikenakan larangan politik, Erbakan tubuhkan pula parti Refah yang
dianggotai Erdogan.
Pada 1997, selepas lebih setahun duduk kerusi perdana menteri,
Refah diharamkan dan Erbakan sekali lagi dikenakan larangan berpolitik.Dia
kemudian menjadi penasihat Parti Fezilet sebelum menubuhkan Parti Saadet.
Ketika inilah, Erbakan dan Erdogan berpisah aliran politik
apabila Erdogan bersama Abdullah Gul dan Bulent Arinc menubuhkan AKP, sebuah
parti Islam yang bersifat liberal dan progresif berbanding Saadet yang
beraliran konservatif.
Erbakan meneruskan perjuangan bersama Recai Kutan yang pernah
bersaing jawatan dengan Abdullah Gul dalam Fezilet.Kecewa dengan tindakan
Erdogan, Erbakan pernah berkata:”Erdogan datang ke sekolah saya tetapi tidak
mendengar apa yang saya ajar.”Apabila berlaku pertembungan politiknya dengan
Fethullah Gulen, seorang ulama yang begitu dihormati lagi berpengaruh di Turki,
orang bertambah keliru malah ada yang mula percaya bahawa Erdogan sememangnya
bukan pejuang Islam.
Apatah lagi media pro Gulen kini menggembar gembur ‘kemewahan’
hidupnya terutama yang berkaitan pembinaan Istana Putih, kediaman rasmi
Presiden Turki yang menelan kos RM2.4 bilion.
Benarkah begitu?
“Tidak,” kata Ahmad Azam Abdul Rahman, bekas Presiden Abim yang
kini Timbalan Setiausaa Agung UNIW (Kesatuan NGO Islam Sedunia) yang
berpangkalan di Istanbul.
“Istana itu bukan hak milik peribadi Erdogan, itu institusi
negara,” katanya.
Menurut Ahmad Azam, apa yang orang ramai tidak tahu, walaupun
mengisytiharkan diri dan kerajaannya sebagai sekularis, Erdogan telah banyak
melakukan transformasi dalam pemerintahan Turki ke arah Islamik menerusi
pindaan Perlembagaan, perubahan dalam angkatan tentera termasuk bidang kuasa
mereka dan juga pemikiran rakyat.
Erdogan bersama Erbakan ketika sama-sama berjuang dalam Parti
Refah pada 1997.
“Itu sebabnya apabila berlaku cubaan kudeta baru-baru ini,
rakyat sanggup turun ke medan mempertaruhkan nyawa mereka untuk mempertahankan
Erdogan,” katanya.
Menurut Ahmad Azam, di bawah pemerintahan Erdogan, meskipun
menghadapi pelbagai cabaran domestik termasuk serangan bunuh diri yang telah
meragut ratusan nyawa, cubaan kudeta oleh pihak tentera dan bermacam-macam
perkara lagi, Turki tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sejagatnya terutama
dalam membela nasib umat Islam yang tertindas.
“Erdogan telah menetapkan satu gagasan Vizyon 2023 untuk Turki
muncul sebagai antara 10 negara kuasa ekonomi dunia (sekarang yang ke 16),
sebagai kuasa politik utama, kuasa tentera dan juga sebagai inspirasi semangat
ummah.
Manakala di bawah konsep Biz Bir Ummetiz (Kita Satu Ummah), dia
meletakkan beberapa negara yang jadi sasaran untuk kerajaan Turki hadir membela
nasib saudara muslim iaitu Arakan (Myanmar), Gaza, Somalia dan Syria.
“Di bawah konsep ini, setiap anggota Kabinet Turki bukan sahaja
dipertanggungjawabkan dengan urusan di dalam negara malahan juga mengenai apa
yang dilakukan di negara-negara yang berkenaan sebagaimana gagasan Presiden,”
katanya ketika menyampaikan syarahan di Unisel, Shah Alam, minggu lalu
MUHAMAD MAT YAKIM
27 JULAI 2016
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment