Thursday, 18 August 2016

Antara Syariah Islam dan Sekularisme


Pertentangan antara Islam dan sekularisme atau lebih khusus Syariah Islam dan Sekularisme sememangnya tidak akan menemui noktah terakhir disebabkan kedua-duanya mempunyai asas kepercayaan dan pemikiran yang berbeza. Maka tidaklah menghairankan apabila PAS yang mendukung Islam sentiasa dilihat mempunyai pertentangan dengan sesiapa sahaja sama ada individu dan kumpulan yang mendukung sekularisme. Yang mungkin menghairankan ialah apabila PAS boleh berkerjasama dengan individu-individu dan kumpulan-kumpulan tersebut ke arah mencapai sesuatu kebaikan yang dituntut oleh Islam. Persoalan inilah yang akan menjadi fokus utama penulis dalam mengupas tajuk ini.

Sebagai memulakan perbincangan ini, penulis mengemukakan satu kes yang menarik berkaitan dengan kegiatan perikanan di Tanzania. Hampir satu kurun masyarakat Islam di Tanzania khususnya yang berhampiran dengan Pulau Zanzibar dan Pulau Masali telah melakukan kegiatan perikanan menggunakan kaedah-kaedah kuno. Dengan keupayaan yang terhad ini mereka terus dibelengu dengan kemiskinan. Kemudian seseorang telah memperkenalkan mereka kaedah yang lebih ‘berkesan’ iaitu dengan menggunakan dinamit, dan kesannya memang memberansangkan. Bagaimanapun, tanpa mereka sedari kaedah ini bukan sahaja merosakan keseimbangan alam tetapi juga survival mereka untuk jangkamasa yang lebih panjang.



Persoalannya ketika itu bagaimanakah untuk menghindarkan mereka daripada amalan yang merosakkan itu? Kerajaan Tanzania dengan kerjasama beberapa agensi alam sekitar telah berusaha memberikan kesedaran termasuk melalui pendidikan bagi mengatasi masalah tersebut. Usaha ini diikuti dengan menguatkuasakan undang-undang melarang penggunaan dinamit. Kemudian sekumpulan pengkaji telah melakukan kajian bagaimanakah menyelesaikan masalah tersebut. Selepas tiga minggu, para pengkaji ini mencadangkan supaya dibentuk satu kumpulan penguatkuasa yang memburu dan menghalang nelayan-nelayan ini menggunakan kaedah tersebut. Kesemua ikhtiar ini gagal menyelesaikan masalah.

Masyarakat nelayan di Tanzania ini hidup di bawah pengaruh yang kuat kepimpinan ulama. Di bawah pengaruh ulama-ulama ini, masyarakat nelayan tersebut hidup berpandukan al-Quran dan hukum-hukum shari'ah, di samping adat yang bersendikan iman. Pada tahun 1998, sekumpulan NGOs antarabangsa telah mengadakan perbincangan dengan para ulama ini berkaitan ajaran Islam tentang perkara ini. Daripada perbincangan tersebut para ulama ini telah menyimpulkan bahawa penggunaan dinamit adalah dilarang (haram) menurut ajaran Islam.

Pada tahun 2000, kepimpinan masyarakat di kawasan ini telah mengisytiharkan larangan menggunakan dinamit dan masyarakat nelayan itu diingatkan tentang balasan Allah terhadap kerosakan yang mereka lakukan. Lebih kurang tiga tahun kemudian dengan kerjasama NGOs, pengkaji-pengkaji, pimpinan-pimpinan setempat dan para ulama, masyarakat nelayan di Tanzania telah mengamalkan kegiatan perikanan yang lestasi (sustanbility), dan meninggalkan sama sekali penggunaan dinamit.

Penulis kemukakan contoh ini, sebagai satu kes yang menggambarkan bagaimana kerjasama antara pendukung Islam dan golongan sekular boleh berlangsung, meskipun pertentangan antara mereka dari segi pegangan dan pendirian tidak pernah selesai. Malah yang lebih penting, meyakinkan kita bahawa Islam atau Syariah Islam berupaya menjadi penyelesaian dengan mengislamisasikan kaedah-kaedah yang dikemukakan oleh golongan sekular.

Islam memang selamanya bersikap akomodatif sebagaimana yang telah dibuktikannya dalam sejarah pertembungannya dengan tamadun Yunani, Romdan Parsi. Pengambilan unsur-unsur dari tamadun asing itu telah dilakukan dalam semangat dialog dan sikap selektif. Dari tamadun Yunani yang diambil adalah falsafahnya. tetapi tidak metodologinya. Dalam konteks tamadun Barat moden antara yang perlu diambil adalah bahagian yang relevan dari sains dan teknologinya. Bukan worldview, epistemologi atau nilai-nilai budayanya. Kita hanya memerlukan pemodenan teknologi selaras dengan nilai syariat, bukan pembaratan budaya, atau meminjam ungkapan Ali Mazrui, “technical modernization without cultural westernization”.

Pertentangan Antara Syariah Islam dan Sekularisme Berakhir?

Sememangnya hampir mustahil pertentangan antara Syariah Islam dan Sekularisme boleh selesai, disebabkan kedua-duanya saling bertentangan secara prinsip. Secara dasarnya, sistem kehidupan Islam tidak memisahkan antara wilayah Yang Maha Esa dan wilayah pemerintah ataupun pemisahan antara kehidupan dunia dan kehidupan akhirat. Demikian juga Islam tidak memisahkan antara kebenaran wahyu dan kehujahan akal (reasoning), tidak sebagaimana Sekularisme. Para pendukung Gerakan Islam beriman dengan penegasan Allah dalam al-Quran;
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلامَ دِينًا
“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (surah al-Maidah ayat 3)

Dengan sebab itu, dari segi prinsipnya Syariah Islam dan Sekularisme akan sentiasa saling bertentangan antara satu sama lain. Pertentangan ini seperti tiada kompromi sehingga bila-bila. Seketika dahulu pertentangan itu begitu sengit kerana dipengaruhi oleh faktor-faktor berikut;
  1. Pertentangan itu berlaku ketika period pertembungan sengit antara agama dan ideologi pasca zaman pertengahan di Barat. Semasa era pertembungan ini, seperti dilihat terlalu sukar untuk berlakunya dialog antara Syariah Islam dan Sekularisme.
  2. Sekularisme datang ke dunia Islam bersama-sama dengan imperialisme dan kolonialisme. Maka kedatangan sekularisme ini ditentang dengan begitu keras sekali oleh masyarakat Islam sehingga tiada ruang langsung untuk berdialog.
  3. Pewaris-pewaris sekularisme di kalangan masyarakat Islam merupakan mereka yang memerintah secara despotism. Mereka telah bertindak dengan begitu kejam terhadap para pendukung Gerakan Islam, lalu dibalas dengan kekerasan termasuklah menutup terus pintu perbincangan.
  4. Sekularisasi merupakan satu fenomena yang sedang berlaku ketika era itu khususnya kurun ke-20, manakala Syariah Islam merupakan mangsa kepada fenomena tersebut.
Maka pendukung Gerakan Islam menjadi perintang yang paling keras menongkah fenomena tersebut. Keempat-empat faktor ini menyebabkan ruang perbincangan antara pendukung Gerakan Islam yang mendukung perlaksanaan Syariah Islam dan golongan pendukung Sekularisme hampir tertutup sama sekali.

Hari ini keempat-empat faktor ini telah berubah. Era pertembungan antara agama dan ideologi sudah semakin berakhir. Dalam dunia hari ini, para ilmuan Barat sendiri telah mula bercakap tentang Sains Pasca-Moden (Post-Modern Science) yang kembali memberi tempat kepada peranan agama. Tokoh perdana sains kurun ke-20 sendiri, Albert Einstein telah menerima hakikat ini, di mana beliau mengungkapkan kata-katanya yang terkenal, “...Science without religion is blind and religion without science is lame”. Ini merupakan petunjuk jelas tentang wujudnya ruang dialog antara agama dan sekularisme. Sekularisasi hari ini bukan lagi satu fenomena, sebaliknya Islamisasi pula mulai mengambil tempat.

Melihat kepada situasi-situasi yang telah berubah itu, maka boleh dikatakan bahawa ruang dialog antara pendukung Syariah Islam dan pendukung sekular mulai terbuka. Pertentangan antara Syariah Islam dan sekularisme dari segi prinsip dan dasarnya tidak mungkin berakhir, tetapi pertentangan dari segi amalan masih boleh dicari jalan keluarnya. Jalan keluarnya seperti yang boleh dilihat dalam contoh kes di Tanzania sebagaimana yang telah dikemukakan tadi. Dengan pengertian lain, jalan keluar itu adalah mengusahakan nilai tambah kepada amalan-amalan sekular yang wujud di kalangan masyarakat Islam ataupun di dunia Islam. Usaha ini boleh dilakukan dengan meletakkan dasar-dasar Islam kepada amalan sekular yang sedia ada.

Selama ini para pendukung Sekularisme sendiri seharusnya bertanya apakah tujuan sebenar sekularisasi? Adakah tujuan sekularisasi itu untuk menyingkirkan peranan agama dalam kehidupan manusia berkaitan dengan kehidupan individu, masyarakat dan negara sama ada bagi mereka yang beragama Islam, Hindu atau Kristian sama ada? Sekiranya ini tujuan sekularisasi, maka sudah sepatutnya semua agama menentang keras sekularisasi dan para pendukungnya. Usaha menyingkirkan peranan agama dalam kehidupan seseorang manusia bermakna mewujudkan konflik yang besar dalam kehidupan global kerana rata-rata penduduk bumi ini berpegang kepada agama, malah tindakan ini menafikan hak-hak asasi mereka.

Atau mungkin sekularisasi bertujuan untuk mengendurkan suasana beragama agar konflik antara agama tidak berlaku? Sekiranya ini tujuan sekularisasi, maka ia akan lebih jauh tersasar dalam membentuk keharmonian kaum. Seluruh agama mempunyai prinsip mengajar penganutnya menghormati manusia dari melakukan pertumpahan darah. Konflik antara agama ini selalunya dicetuskan oleh mereka yang sekular seperti kes mengarak kepala lembu di Bangunan SUK Selangor satu ketika dahulu. Sedangkan bagi mereka yang berpegang dengan Islam, prinsip-prinsip “tiada paksaan dalam beragama” sentiasa dijadikan asas yang terpenting dalam isu-isu seumpama ini. Oleh sebab itu yang mencetuskan permusuhan adalah golongan sekular.

Mungkin juga tujuan sekularisasi adalah untuk membawa kemajuan kepada kehidupan manusia sepertimana yang diperjuangkan oleh Kamal Attaturk. Jika itulah tujuannya, maka ketahuilah Islam tidak pernah menghalang kemajuan, malah terbukti bahawa dengan berpegang kepada Islam, tamadun manusia yang hebat boleh didirikan. Syariah Islam sendiri diturun untuk membawa kemakmuran kepada seluruh alam serta menyempurnakan peranan manusia sebagai Khalifah Allah Taala yang antara lain menguruskan pembangunan bumi.

Firman Allah;
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُواْ أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاء وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لاَ تَعْلَمُونَ
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Para Malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”

Menurut pandangan Max Weber tujuan utama sekularisasi ialah untuk merasionalkan (rasionalisation) sesuatu tindakan manusia dalam kehidupan. Dengan pengertian yang lebih jelas, sekularisasi adalah usaha untuk mengangkat keupayaan (rasional dan empirikal) manusia dalam mempertimbangkan dan mengawal seluruh aspek kehidupan manusia tanpa bergantung kepada norma-norma tradisional seperti agama. Berkemungkinan kecenderungan seperti inilah yang menyebabkan sekularisme diterjemahkan ke dalam bahasa Arab sebagai al-‘Ilmaniyyah.

Al-‘Ilmaniyyah bermaksud satu fahaman yang menisbahkan pegangannya kepada ilmu atau sains. Al-Qaradawi dan al-Attas tidak bersetuju dengan penggunaan perkataan ini sebaliknya mencadangkan al-Laa diniyyah (menolak agama).

Oleh sebab itu, sekularisasi adalah usaha untuk mengutamakan keupayaan ilmu (rasional dan empirikal) manusia sebagai pertimbangan untuk menentukan sesuatu perkara berkaitan kehidupan, dan membelakangkan ajaran agama.

Pandangan ini selari dengan petunjuk-petunjuk sejarah tentang perkembangan sekularisme di Barat secara beriringan dengan perkembangan sainstisme. Naluri mempersoalkan sesuatu seperti yang menjadi tonggak dalam perkembangan sains turut menjadi perhitungan yang penting dalam mempersoalkan kesahihah ajaran dan hukum agama. Kerana itu, setiap aspek kehidupan perlu melepasi fasa inkuiri sains (ilmu) termasuklah perkara yang berkaitan dengan perundangan. Bermula dari sinilah terbina tatacara kehidupan sekular berkaitan dengan sosial, ekonomi dan politik, lalu menghakis tatacara kehidupan yang telah sedia ada dalam agama. Sekularisasi itu berlaku bermula dengan epistemologi sehinggalah persoalan kenegaraan.

Hari ini proses sekularisasi itu (rasionalisasi) telah hampir selesai. Boleh dikatakan tidak ada satu perkarapun yang berkaitan dengan kehidupan manusia yang tidak disekularkan. Yang masih berbaki adalah perkara yang berkaitan ibadah atau ritual dan hukum-hukum perkahwinan. Proses sekularisasi mulai statik, justeru masyarakat manusia boleh menilai sejauhmana kejayaan rasionalisasi yang dilakukan. ‘Kejayaan’ sekularisasi dan rasionalisasi ini menyaksikan dua perang dunia berlaku dalam tempoh satu kurun, krisis kemanusiaan yang serius, krisis alam sekitar yang meruncing dan lain-lain.

Jelas sekali, rasionalisasi tidak cukup untuk membentuk keperibadian seseorang dan sekumpulan manusia, sebaliknya spiritualiti atau naluri mempercayai kewujudan yang Maha Esa adalah sangat-sangat diperlukan. Perkara inilah yang ditunjukkan oleh kes di Tanzania yang dikemukakan tadi. Berdasarkan kes tersebut, setelah proses sekularisasi mencapai tahap tepu maka sepatutnya satu lagi proses wajar bermula iaitu Islamisasi.

Usaha Islamisasi ini adalah untuk meletakkan kembali amalan-amalan yang telah melalui fasa inkuiri itu kepada landasan Islam. Sebenarnya banyak amalan-amalan yang melepasi fasa inkuiri oleh sekularisasi ini telah sedia ada dalam Islam, cuma sekularisme meminggirkan kepercayaan kepada Allah yang Maha Esa. Selain daripada kes di Tanzania ini, boleh dikemukakan banyak lagi kes-kes yang lain, seperti kerosakan yang dibawa oleh arak, kemusnahan masyarakat yang disebabkan oleh perzinaan dan Iain-lain.

Wajah baru hubungan Syariah Islam dan Sekularisme melihat kepada ketepuan Sekularisme itu, maka sepatutnya tidak ada masalah yang besar untuk mengiktiraf usaha melakukan nilai tambah kepada amalan-amalan sekular itu. Usaha untuk melakukan nilai tambah itu ialah meletakkan dasar atau landasan yang betul kepada amalan-amalan yang telah melepasi tahap inkuiri tersebut kepada value syariah.

Penulis ingin memberi satu lagi contoh amalan yang telah sedia dalam masyarakat Malaysia, iaitu akta dan enakmen yang berkaitan dengan Taman Negara dan Hutan Simpan. Kewujudan Taman Negara dan Hutan Simpan ini untuk tujuan mengekalkan keseimbangan ekosistem dan memelihara biodiversiti telah diperakui kerasionalannya, bagaimana nilai berkaitan pengabdian kepada Allah hilang disebabkan Sekularisme.

Oleh sebab itu, mengapa tidak dilakukan nilai tambah dengan meletakkan landasan Islam kepada amalan-amalan tersebut. Sangat menarik, amalan tersebut telah dilaksanakan oleh pemerintah Islam sejak zaman Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam sendiri atas nama hukum yang berkaitan dengan Harim dan Hima (tanah yang dilindungi, yang kosong dari bangunan).

Praktis Harim dan Hima ini saling tidak tumpah sama seperti beberapa amalan perlindungan hutan yang pernah dicadangkan oleh IUCN termasuklah antaranya Taman Negara dan Hutan Simpan. Malah sebenarnya masih banyak amalan-amalan yang telah melepasi rasionalisasi ini telah sedia dipraktiskan oleh umat Islam sejak 1400 tahun yang lalu. Dalam konteks ini, dialog antara Syariah Islam dan sekularisme menjadi lebih mudah.

Terdapat pula amalan-amalan yang telah melepasi rasionalisasi ini memerlukan sedikit rombakan sekiranya hendak diletakkan amalan itu atas landasan Islam. Contoh yang terbaik berkaitan dengan perkara ini ialah perbankan Islam. Proses Islamisasi tehadap perbankan sekular tidak begitu mendapat penentangan. Demikian jugalah sepatutnya berlaku kepada Islamisasi dalam amalan-amalan yang lain seperti undang-undang jalanraya dan hukuman mati ke atas seseorang yang disabitkan kes bunuh. Hukuman yang sedia ada di Malaysia sekarang mempunyai titik-titik pertindihan dengan hukum Islam khususnya hukum qisas, tetapi memerlukan beberapa rombakan selain daripada perkara utama meletakkan amalan itu atas landasan Islam.

Tidak dapat dinafikan terdapat juga amalan-amalan yang telah melepasi rasionalisasi ini mempunyai pertentangan secara total dengan hukum-hukum Islam seperti hukum berkaitan dengan pesalah-pesalah zina. Bagaimanapun, pertentangan ini masih boleh dirundingkan melalui dialog antara Syariah Islam dan Sekularisme. Sekiranya benar Sekularisme berpegang kepada pentingnya rasional dan empirikal, maka para pendukung Syariah Islam yakin hukum-hukum Islam berkaitan pesalah-pesalah zina lebih terbukti rasional dan empirikal daripada telahan-telahan golongan sekular. Yang lebih penting dialog antara kedua golongan ini mesti direalisasikan demi kemaslahatan manusia sejagat.

Justeru sebenarnya pertentangan Syariah Islam dan Sekularisme mempunyai jalan keluar, iaitu melalui dialog yang berterusan sebagaimana yang pernah diambil dalam kes di Tanzania di atas. Bagaimanapun, dialog ini selalu terhalang oleh golongan-golongan yang mempunyai kepentingan dan dihinggapi penyakit Islamofobia. Sebagai Gerakan Islam yang mencita-citakan terlaksananya Syariah Islam, PAS sentiasa membuka pintu untuk menerokai dan meneruskan dialog tersebut, demi untuk menjamin kepentingan manusia yang berkaitan dengan agama, nyawa, keturunan, akal dan harta.

Biodata Penulis

Dr. Mohd Zuhdi bin Marzuki dilahirkan ada 26 Julai 1970 di Slim River Perak, bandar yang kecil tempat bersemaraknya kebangkitan pejuang Melayu Islam seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy dan Ahmad Boestamam. Di dalam gerakan Islam Parti Islam SeMalaysia (PAS), beliau merupakan Pengarah Penyelidikan PAS Pusat (PPP). Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam dan dakwah sebenar di Malaysia. Bergiat dalam kegiatan akademik dan dakwah Islamiyah dalam usaha mewujudkan sebuah kehidupan dunia yang diredhai oleh Allah

No comments:

Post a Comment