PUTRAJAYA 7 Ogos – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyokong penuh keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan yang tidak membenarkan umat Islam melibatkan diri dengan aplikasi permainan Pokemon Go atas pelbagai faktor, termasuk membawa kepada kemudaratan.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Othman Mustapha berkata, keputusan tersebut adalah selari dengan pandangan hukum oleh negara Islam lain yang telah membuktikan permainan Pokemon Go ini menjadi penyebab insiden yang membahayakan sehingga meragut nyawa.
Pada masa sama, katanya, permainan itu juga nyata mendatangkan kesan yang negatif kepada golongan kanak-kanak dan remaja.
“Justeru, Jakim menyeru umat Islam di negara ini agar menghindarkan diri dari permainan Pokemon Go ini.
“Saranan ini juga selaras dengan kaedah syarak iaitu saddu al-zara’i di mana kita perlu mencegah atau menyekat jalan yang boleh membawa kepada kerosakan dan kemudaratan kepada diri kita,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kelmarin, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam ke- nyataannya berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan yang diadakan pada 1 Ogos lalu memutuskan bahawa karakter Pokemon dan aplikasi permainan Pokemon Go tidak dibenarkan untuk umat Islam atas faktor ‘maslahah’ dan kemudaratan.
Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas pihaknya meneliti pendapat para ulama dan fatwa yang dikeluarkan supaya permainan itu dijauhkan sekiranya membawa kepada mudarat.
Sejak permainan tersebut dilancarkan pada 6 Julai lalu, ratusan insiden termasuk kematian melibatkan Pokemon Go telah direkodkan antaranya kematian seorang remaja, Jerson Lopez de Leon, 18, yang ditembak mati selepas memecah masuk sebuah rumah di Guatemala bersama sepupunya, Daniel Moises Picen, 17, untuk ‘memburu’ karakter Pokemon.
Kematian itu adalah yang pertama melibatkan aplikasi permainan yang semakin popular di seluruh dunia, Pokemon Go.
Di Redding, California pula, seorang gadis cedera ditikam ketika asyik memburu Pokemon pada pukul 2 pagi. Kejadian itu berlaku selepas mangsa didatangi sekumpulan penyerang yang mahu menyamunnya.
No comments:
Post a Comment