Thursday 18 August 2016

Mahkamah tolak rayuan 3 individu untuk keluar Islam


BeritaMahkamah Rayuan di Kuching, Sarawak hari ini menolak rayuan oleh tiga individu berasal negeri ini yang ingin keluar dari Islam.

Mereka ialah Jenny Peter@Nur Muzdhalifah Abdullah, Tiong ChooTing@Mohd Syafiq Abdullah dan Salina Jau Abdullah. Kesemua mereka diwakili oleh peguam yang juga Ketua PKR Sarawak, Baru Bian.

Mereka menamakan pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Majlis Islam Sarawak dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai responden.
Ketiga-tiga mereka mahu Jabatan Agama Islam Sarawak dan majlis berkenaan untuk mengeluarkan surat murtad kepada para pemohon yang mahu keluar dari Islam. Mereka turut memohon agar Ketua Pengarah JPN menukar nama-nama Islam pemohon kepada nama-nama asal mereka.



Panel tiga anggota yang diketuai oleh Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan persoalan sama ada mereka boleh meninggalkan Islam atau sebaliknya dibawa ke Mahkamah Syariah. Hakim ialah Datuk Dr Badariah Sahamid dan Hakim Datuk Kamardin Hashim.

Nasib mereka adalah berbeza dengan Rooney Rebit dengan Mahkamah Tinggi di Kuching pada 24 Mac yang lalu menganugerahkan semakan kehakiman itu dan memutuskan beliau mempunyai hak perlembagaan untuk memilih agamanya. Keputusan itu dibuat sebelum pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini. Mahkamah Tinggi kemudiannya tidak bersetuju dengan penegasan JPN bahawa Rooney @ Azmi Mohamad Azam memerlukan surat murtad dari Mahkamah Syariah untuk menukar agamanya.

Dalam kes Rooney, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut campur tangan dan memberi jaminan kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem bahawa JPN akan menggugurkan rayuannya terhadap lelaki Bidayuh tersebut.

Halangan kebebasan beragama

Peguam Baru menyifatkan keputusan dalam kes tiga individu tersebut sebagai halangan kepada kebebasan beragama di Sarawak.
Baru berkata, para pemohon yang pada asalnya bukan Islam telah keluar dari Islam selepas bercerai atau kematian pasangan.

"Ketiga-tiga telah bersumpah dalam akuan bersumpah bahawa mereka tidak lagi mengamalkan ajaram agama Islam," kata Baru dalam kenyataan hari ini.
"Isu utama di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan adalah sama ada Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil mempunyai bidang kuasa dalam kes sedemikian.

"Hujah kami ialah memandangkan para pemohon bukan lagi beragama Islam, seperti yang tertera dalam akuan bersumpah, Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas mereka."

No comments:

Post a Comment