Thursday 25 July 2013

SIS boleh disiasat kerana pertikai fatwa


KUALA LUMPUR 24 Julai - Sisters In Islam (Sis) boleh disiasat mengikut Seksyen 7 dan 9 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) kerana mempersoalkan fatwa yang mengharamkan wanita Islam menyertai pertandingan ratu cantik.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali berkata, jika didapati bersalah di bawah salah satu seksyen tersebut, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Menurut beliau, kesalahan di bawah Seksyen 7 melibatkan mana-mana individu atau kumpulan yang secara lisan atau bertulis telah menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina.
''Selain itu, mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam serta mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan yang berhubungan dengan agama Islam juga merupakan kesalahan di bawah Seksyen 7.

''Kesalahan di bawah Seksyen 9 adalah mana-mana individu atau kumpulan yang bertindak dengan cara menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari, melanggar serta mempertikaikan perintah Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam, majlis atau mufti, yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Sis yang mempertikaikan pengeluaran fatwa di Malaysia dalam isu ratu cantik dengan menyifatkannya sebagai tidak islamik dan demokratik di laman portal berita FMT semalam.
Sis mempersoalkan bagaimana fatwa yang diwartakan pada 8 Februari 1996 di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 dan yang lain boleh menjadi undang-undang secara automatik tanpa melalui proses perundangan dan ini telah mencabuli kebebasan asasi seseorang.

Menurut Che Mat, Jawi memandang serius terhadap mana-mana pihak yang mempertikaikan fatwa atau menghina Islam dan akan mengambil tindakan ke atas mereka jika siasatan membuktikan wujudnya perbuatan tersebut.

Beliau berkata, ketegasan Jawi itu boleh dilihat melalui kertas siasatan terhadap wanita Islam yang menyertai Pertandingan Miss Malaysia World 2013 yang telah mula dibuka mengikut Seksyen 7 atas kesalahan mempersoalkan fatwa mengharamkan mereka menyertai pertandingan ratu cantik.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130725/dn_08/SIS-boleh-disiasat-kerana-pertikai-fatwa#ixzz2a2QwrVrY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment