Friday, 26 July 2013

Panalis Miss Malaysia jumpa Jawi


KUALA LUMPUR 25 Julai - Salah seorang finalis Miss Malaysia World 2013 yang beragama Islam dan penganjurnya hadir ke pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini hari ini.
Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali berkata, kehadiran mereka bagi memohon maaf berhubung kenyataan sebelum ini yang dilihat menghina Islam sehingga memungkinkan mereka dikenakan tindakan undang-undang.

"Kita akan melihat permohonan maaf ini dan saya akan mengadakan perbincangan dengan bahagian penguat kuasa.

"Kita juga sedang menjalankan siasatan berhubung penyertaan mereka dalam pertandingan itu dan sebarang tindakan akan diambil selepas Hari Raya Aidilfitri ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas pertemuan itu.

Sebelum ini, empat finalis itu seperti dilaporkan sebuah akhbar melahirkan rasa kecewa kerana penyertaan mereka dalam pertandingan Miss Malaysia World 2013 dibatalkan.

Ekoran reaksi itu, kesemua mereka mendapat kecaman banyak pihak kerana disifatkan tidak menghormati kesucian Islam selain melanggar fatwa yang melarang wanita Islam menyertai pertandingan tersebut.
Fatwa itu diwartakan pada 8 Februari 1996 mengikut Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 yang memutuskan bahawa menyertai atau menganjurkan atau menyumbang apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik adalah haram dan berdosa bagi orang Islam.

Tambah Che Mat, pihaknya juga akan melihat permohonan maaf yang dibuat peserta lain namun keputusan berhubung perkara itu masih belum dibuat.Sementara itu, penganjur pertandingan tersebut, Datuk Anna Lim berkata, beliau hadir bertemu Che Mat bagi membincangkan mengenai penyertaan empat peserta wanita Islam berkenaan.

"Kita patuh dengan peraturan dan fatwa yang ada. Sebelum ini saya mengetahui fatwa itu, namun tidak begitu faham," katanya.

Menurut beliau, kekeliruan itu timbul berikutan sebelum ini terdapat wanita Melayu dan beragama Islam menyertai pertandingan seperti Dewi Remaja, Miss Tourism dan Miss Kebaya.Dalam perkembangan berkaitan, Che Mat berkata, pihaknya turut membuka siasatan terhadap Sisters In Islam (Sis) semalam kerana mempertikai pengeluaran fatwa di negara dan akan memanggil beberapa pihak untuk memberi keterangan.
"Kita tidak mahu menggadai agama Islam yang merupakan agama Persekutuan. Sekiranya tidak bertindak, saya telah mempersia-siakan tanggungjawab kepada penduduk di Wilayah Persekutuan dan umat Islam.
"Mana-mana pihak juga diingatkan tidak cuba mencabar fatwa yang telah diwartakan dan pihak berkuasa agama perlu dihormati oleh semua masyarakat," katanya.

Sebelum ini, Sis mempersoal bagaimana fatwa berhubung larangan wanita Islam menyertai pertandingan ratu cantik itu boleh menjadi undang-undang secara automatik tanpa melalui proses perundangan dan menyifatkannya mencabuli kebebasan asasi seseorang.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130726/dn_08/Finalis-Miss-Malaysia-jumpa-Jawi#ixzz2a71WPsb1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment