Friday 12 July 2013

DRAF PELAN TINDAKAN DAKWAH NEGARA (PTDN) TERUS DIPERKASA


Usaha memperkasa Program/ Tindakan Dakwah Negara melalui Bengkel Pengemaskinian Draf Pelan Tindakan Dakwah Negara (PTDN) anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah berlangsung pada 8 Julai 2013 bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bandar Baru Bangi, Selangor. Bengkel ini merupakan tindakan susulan hasil semakan Draf PTDN oleh pihak Pengurusan Tertinggi Jabatan yang telah dilengkapkan melalui Bengkel Penyelarasan Draf PTDN bersama Agensi-agensi di bawah Menteri, Jabatan Agama Islam Negeri-negeri dan Badan-badan NGO Islam pada 13-15 Februari 2013 di Intekma Resort & Convention Centre, Shah Alam, Selangor.
          Bengkel ini dipengerusikan oleh YBhg. Tuan Haji Razali bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan (TKPPI), Jakim. Seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada Fasilitator Jemputan dari Institusi-institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tempatan dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM),  Pengarah-pengarah Bahagian/ Cawangan (Sabah dan Sarawak) Jakim dan wakil-wakil Pengarah Bahagian/ Cawangan Jakim telah memberi komitmen terbaik bagi menjayakan bengkel ini.
          Tiga (3) objektif khusus mengadakan bengkel ini adalah untuk mendedahkan maklumat berkaitan status serta kedudukan terkini proses pembangunan Draf PTDN. Selain itu, bengkel ini juga bertujuan menentukan Program/ Tindakan Dakwah Negara khususnya dalam menetapkan tahun serta tempoh sasaran pelaksanaan bagi setiap program/ tindakan dakwah yang telah ditetapkan dalam PTDN. Bengkel ini juga bertujuanmenghasilkan Draf PTDN yang lengkap dan bertulis untuk dibentangkan bersama Dasar Dakwah Negara (DDN) dalam Persidangan Ketua-Ketua Jabatan Agama Islam seluruh Malaysia (PKJ) dan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) yang akan datang.
            TKPPI menyifatkan Bengkel kali ini merupakan modus operandi kepada penyusunan Program/ Tindakan Dakwah Negara yang menyeluruh dengan mengambil kira aspek ‘praktikaliti’ untuk dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun bermula tahun 2014. Pembahagian tugas selari telah dilakukan melalui pelantikan Ketua Operasi Kerja yang akan mengetuai kumpulan kerja berdasarkan fokus bidang kerja masing-masing yang selari dengan lima (5) Agenda Transformasi Dakwah Negara. Setiap Kumpulan Kerja diberi tanggungjawab untuk menentukan Program/ Tindakan Dakwah Negara di samping mengemas kini Program/ Tindakan Dakwah Negara yang sedia ada. Bengkel ditangguhkan sehingga pertemuan berikutnya yang dicadangkan pada bulan September 2013. 
Tarikh: 
 Jul 12, 2013  

No comments:

Post a Comment