SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menolak dakwaan yang mengatakan pengikut Syiah di negara ini sudah mencapai angka 300,000 hingga sejuta orang.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan
(Seksyen dan Akidah) Jakim, Kamarul Saman Yaacub berkata, kenyataan itu lebih bersifat provokasi atau propaganda semata-mata.

“Angka itu tidak benar kerana Jakim sentiasa memantau pergerakan Syiah sejak awal pergerakan ini menular di negara ini, tetapi pergerakan ini tidak banyak seperti didakwa.

“Jakim turut turun padang menyampaikan penerangan kepada masyarakat mengenai bahaya Syiah,” katanya dalam satu sesi soal jawab bersama radio ikim.fm, semalam.

Kamarul menasihatkan individu yang curiga dengan usaha mana-mana pihak mendekatinya bagi menyebarkan ajaran Syiah supaya tampil kepada mana-mana pejabat agama untuk mendapatkan lebih penerangan.

“Syiah boleh menyesatkan, tampillah jika mendapati ada mana-mana pergerakan mencurigakan,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan dakwaan ketua kumpulan Syiah Malaysia, Mohd Kamil Zuhairi Abd Aziz yang mendakwa jumlah pengikut fahaman itu kini dianggarkan mencecah antara 300,000 dan sejuta orang