Thursday 27 June 2013

Bengkel Pemurnian Modul Pasca Perkahwinan

Langkawi, Kedah – Pada 17 - 19 Jun  2013 bersamaan 8 - 10 Sya’ban 1434 Hijrah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti telah mengadakan satu Bengkel Pemurnian dan Pembentangan Akhir Modul Pasca Perkahwinan.

Bengkel tersebut telah diketuai oleh Puan Sabariah binti Haji Salleh yang merupakan Ketua Penolong Pengarah di Bahagian ini. Modul ini telah dibangunkan oleh 30 orang peserta yang terdiri dari pelbagai Kementerian dan Agensi. Bengkel ini juga merupakan kesinambungan daripada beberapa siri Bengkel Pembangunan Modul Pasca Perkahwinan yang telah diadakan sebelum ini. Wakil agensi kerajaan yang terlibat selain daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ialah Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Bahagian Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Selain itu, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Pensyarah Kewangan dari Universiti Tenaga Nasional, Pasukan Penyelidik Universiti Islam Antarabangsa (Fundamental Research Group Scheme) dan Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syari’e turut mengambil bahagian dalam memberikan komitmen yang padu dalam pembangunan Modul ini.

Secara umumnya usaha membangunkan Modul ini telah bermula sejak 11 – 13 September 2012 dengan mengadakan Bengkel Perkongsian Maklumat untuk mengetahui punca-punca aduan rumahtangga di 14 buah negeri termasuk WP Labuan dan WP Putrajaya. Bengkel ini telah membuahkan hasil apabila sebanyak 10 punca aduan rumahtangga telah dapat dikenalpasti dan faktor ini telah menjadi asas kepada pembangunan Modul ini. Sesi pembangunan Modul ini berakhir dengan mengadakan pembentangan akhir para panel penggubal dengan bagi membentangkan hasil perbincangan dari beberapa topik iaitu Pengurusan Kewangan Pasangan, Pengurusan Kesihatan Pasangan, Pengurusan Psikologi Pasangan, Pengurusan Stres melalui Ibadah, beberapa Slot LDK, Slot Riadah dan Kesihatan Pasangan dan juga satu slot istimewa yang dibangunkan bagi menambah keserasian pasangan.
Modul Pasca Perkahwinan ini dibangunkan dengan membahagikan perkahwinan kepada 4 fasa iaitu 0-5 tahun perkahwinan (Fasa Bulan Madu), 6 – 10 tahun perkahwinan (Fasa Sehati Sejiwa), 11 – 20 tahun perkahwinan (Fasa Semarak Kasih) dan fasa perkahwinan 21 tahun ke atas (Fasa Syurga Cinta). Kursus Pasca Perkahwinan ini pula akan mengambil masa selama 3 hari 2 malam yang mana pengisian-pengisian yang dibangunkan merangkumi Ceramah Pengetahuan dan Kemahiran, LDK, Riadah dan Slot Praktikal Bersama. Bagi menguji keberkesanan Modul ini, Bahagian ini akan mengadakan Ujian Keberkesanan (Pilot Test) yang melibatkan 30 pasangan di kalangan Penjawat Awam sekitar WP Putrajaya pada akhir Oktober 2013 yang mana keutamaan akan diberikan kepada warga Jakim bersama pasangannya.
Bengkel yang telah dirasmikan pembukaannya oleh YBhg. Tuan Haji Razali bin Shahabudin ini telah dirasmikan penutupannya pada 17 - 19 Jun 2013 yang lalu oleh YBhg. Puan Hajah Saimah binti Mukhtar, Pengarah KSK dengan penyampaian sijil penghargaan dan cenderamata. Diharapkan, dengan adanya Modul ini,  ia akan memberikan sedikit sebanyak maklumat dan kemahiran kepada pasangan suami isteri agar dapat melayari rumahtangga dengan harmoni dan mencapai matlamat perkahwinan yang sebenar iaitu Mawaddah Wa Rahmah.
TAKLIMAT JADUAL PERBATUAN PEMBANGUNAN DAN PELAKSANAAN MODUL PASCA PERKAHWINAN
SESI PERBINCANGAN
Slot Riadah dan Sukan oleh Kementerian Belia dan Sukan
Slot Pengurusan Kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia
Slot LDK dengan bantuan Jakim dan JAIN
Slot Pengurusan Kewangan dan Pengurusan Psikologi
Kumpulan Pasukan Penyelidik UIAM (Fundamental Research Group Scheme) yang akan
membantu Jakim menyiapkan Buku Panduan Pasca Perkahwinan
SESI PEMBENTANGAN
Pembentangan dari Kumpulan Pengurusan Psikologi oleh Bahagian Psikologi, JPA
Praktikal Stretching bersama pasangan oleh En. Suffian, Jurulatih Sports Massage
Slot Pemeriksaan Kesihatan Kewangan oleh AKPK
Pembentangan Slot Pengurusan Kesihatan Seksual & Reproduktif
SESI PENYAMPAIAN SIJIL DAN CENDERAMATA

No comments:

Post a Comment