Wednesday 26 June 2013

Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-14 Tahun 2013


Sukacita dimaklumkan bahawa Bahagian Kemajuan Islam, JAKIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang dan Jabatan Agama Negeri-Negeri seluruh Malaysia telah berjaya menganjurkan Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Agama Malaysia (KESSUMA) Peringkat Kebangsaan kali ke-14 pada 2 hingga 6 Jun 2013 bertempat di Kuantan, Pahang. Negeri Pahang merupakan tuan rumah pada penganjuran kali ini.  Dimana ia akan diadakan di tiga lokasi iaitu Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Kampus Kuantan, Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad, Kuantan dan Kompleks SUKPA, Indera Mahkota Kuantan.
 
Objektif penganjuran pertandingan ini diadakan adalah bagi meningkatkan pencapaian dan perkembangan pendidikan agama Islam masa kini berdasarkan keperluan  masyarakat dan negara. Ia bertepatan dengan kehendak arus perdana pendidikan negara yang memerlukan pelajar yang cerdas dalam pelajaran dan cergas dalam bersukan.
 
Program ini juga memberi peluang kepada pelajar-pelajar Sekolah Agama negeri dan Rakyat (SAN dan SAR)  mendapatkan 10 markah merit untuk kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam negara. Ia bagi memastikan pelajar sekolah agama tidak tertinggal/terpinggir dari arus pendidikan perdana dengan menyediakan  berbagai kemudahan serta peluang pembelajaran yang lebih sistematik dan berdaya saing. Di atas keperluan tersebut, JAKIM akan menjadikan KESSUMA sebagai program tahunan yang mesti dilaksanakan dengan mengemaskini dan menambahbaik program sedia ada dari semasa ke semasa.
 
 Majlis perasmian telah diadakan penuh gilang gemilang pada 2 Jun 2013 (Ahad) jam 3.00 petang di Kompleks SUKPA, Indera Mahkota, Kuantan. Y.Bhg Tuan Haji Razali bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan, JAKIM telah mewakili YB Menteri di Jabatan perdana Menteri merasmikan majlis tersebut. Majlis tersebut turut dihadiri oleh YB Tuan Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Exco Dakwah Islamiah Dan Tugas-Tugas Khas Pahang, Y.Bhg. Dato’ Muhammad Roslan bin Haron, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Y.Bhg.Tuan Haji Awang Khalid bin Mat Ali, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan JAKIM, Puan Hajjah Ramlah bt Yong, Pengarah Bahagian Kemajuan Islam JAKIM, Pengarah-Pengarah JAKIM dan Pengarah-Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri.
 
Sebanyak 13 kontinjen dari 13 negeri telah diperkenalkan semasa majlis perasmian dengan mengibarkan bendera setiap negeri dan maskot kejohanan setiap negeri. Seramai 2,500 atlit telah terlibat dan bertanding dalam setiap acara yang dipertandingakan.
 
Sebanyak 11 acara akan dipertandingkan sepanjang kesukanan berlangsung iaitu bola sepak, sepak takraw, ping pong kategori lelaki dan perempuan, badminton lelaki dan perempuan, bola tampar kategori lelaki dan perempuan, bola jaring dan lain-lain lagi.
 
 Manakala majlis penutupan telah disempurnakan oleh YB Tuan Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Exco Dakwah Islamiah Dan Tugas-Tugas Khas Pahang mewakili Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Hj. Adnan bin Hj. Yaakob pada 5 Jun 2013 (Rabu) jam 8.00 malam bertempat di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.
 
Kesemua peserta yang menyertai kejohanan adalah terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah menengah agama negeri dan rakyat (SAN dan SAR) yang mewakili semua negeri seluruh Malaysia. YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah menyumbangkan Piala Pusingan johan keseluruhan kejohanan tersebut iaitu ”Piala Menteri Di Jabatan Perdana Menteri”.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment