Wednesday 26 June 2013

Pertemuan Jawatankuasa Fatwa MKI Dengan YB Menteri Di JPM

Bertempat di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 6 Jun 2013 baru-baru ini telah berlangsung majlis Pertemuan Dan Perbincangan antara YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Hj. Baharom (B), Menteri Di Jabatan Perdana Menteridengan Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI). Pertemuan ini merupakan kali pertama diadakan selepas YB Menteri diberikan mandat untuk terus menerajui portfolio hal ehwal Islam selepas PRU-13 baru-baru ini.
Pertemuan yang berlangsung selama dua (2) setengah jam ini telah membincangkan banyak isu yang berkaitan langsung dengan hal ehwal Islam dan juga perbincangan secara khusus mengenai pengurusan hal ehwal kefatwaan di Malaysia. Dalam perutusannya, YB Menteri telah melahirkan harapan dan sokongan kepada Jawatankuasa Fatwa MKI yang terdiri daripada Sahibus Samahah Mufti-mufti dan ahli-ahli pakar dalam pelbagai bidang bahawa peranan yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa ini sangat penting bagi memastikan kehidupan beragama umat Islam di negara ini dibimbing dengan hukum yang berhikmah berasaskan syarak dan waqi’ masyarakat di negara ini. YB Menteri juga menegaskan bahawa peranan yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Fatwa MKI dalam era ini telah semakin meluas kerana bidang kefatwaan adalah bersifat ijtihadi yang bergerak seiring dengan perkembangan tamadun manusia dan ia bukan hanya dilihat sebagai medan untuk menentukan halal dan haram semata-mata, tetapi meluas kepada peranan yang lebih besar iaitu dalam mengimbangi dan mengharmonikan kehidupan ummah.
Sejajar dengan perkembangan tersebut, YB Menteri bersetuju dan menyokong terhadap cadangan pengukuhan fungsi dan peranan kefatwaan yang sedang dilaksanakan oleh Jakim sebagai penggerak kepada Jawatankuasa Fatwa MKI dan beliau berpandangan ianya sangat releven dengan keadaan semasa dan perlu disegerakan. Antara perkara-perkara yang telah dipersetujui untuk dilaksanakan ialah pelantikan felo atau pakar dalam bidang kefatwaan bagi membantu Jawatankuasa Fatwa MKI meneliti dan mengkaji isu-isu hukum yang bersifat segera dan semasa daripada pelbagai pihak yang memerlukan kepakaran serta membimbing masyarakat dengan pandangan hukum yang disepakati secara jama’ie sama ada secara atas talian, bersemuka atau melalui bahan penulisan. Turut dipersetujui ialah penyediaan kemudahan rujukan fatwa dan pandangan hukum yang lebih cepat melalui media baru dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Arab selari dengan cita rasa dan tuntutan masyarakat masakini.
Pertemuan yang berakhir pada jam 12.30 tengahari telah dihadiri oleh Y. Bhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abd. Shukor Husin, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa MKI, Y. Bhg. Dato’ Hj. Othman bin Mustapha, Setiausaha Jawatankuasa Fatwa MKI, Sahibus Samahah Mufti-Mufti, Ahli-ahli Dilantik Majlis Raja-Raja. Turut hadir Y. Bhg. Tuan Hj. Razali bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan Jakim.
Date: 
 Jun 11, 2013

No comments:

Post a Comment