Persidangan Ketua-Ketua Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia Kali Ke-91 telah diadakan pada 18 Jun 2013 (Selasa) bertempat di Dewan Datuk Mohd Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bandar Baru Bangi, Selangor.
Persidangan telah dipengerusikan oleh YBhg. Dato' Haji Othman Bin Mustapha, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Ahli persidangan yang hadir terdiri daripada Ketua-Ketua Jabatan / Majlis Agama Islam Negeri, Pengarah / wakil beberapa agensi peringkat persekutuan seperti Jabatan Bantuan Guaman Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran Malaysia, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Jabatan Arah Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT), Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) Polis Di Raja Malaysia dan Lembaga Tabung Haji danPengarah-Pengarah Bahagian JAKIM.
Persidangan ini merupakan platform untuk mengukuhkan kerjasama antara JAKIM dan Jabatan / Majlis Agama Islam dalam pengurusan hal ehwal agama Islam di peringkat negeri dan persekutuan. Ia juga bertujuan untuk menyelaras dan mewujudkan keseragaman dalam pentadbiran dan perlaksanaan hukum syara’ di negeri-negeri di samping mempelajari kemajuan yang dicapai oleh sesebuah Jabatan / Majlis Agama Islam Negeri untuk dijadikan panduan dan contoh kepada yang lain.
Dalam persidangan kali ini, lima kertas cadangan dan makluman telah dibentangkan bagi mendapat pandangan dan juga persetujuan daripada semua ahli persidangan. Persidangan Ketua-Ketua Jabatan Majlis/Jabatan Agama Islam Seluruh Malaysia Kali Ke-92 akan diadakan pada bulan September 2013.
Date:
Jun 18, 2013
No comments:
Post a Comment