Thursday, 25 October 2012

Fiqh: Yang berkaitan dengan ibadah korban


Zaharuddin Abd Rahman,22 Okt 2012
Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a,  Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah yang berpendapat berkorban wajib bagi mereka yang berkemampuan.

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri daripada memotong rambut dan kuku. Hal ini berdasarkan hadis riwayat Muslim yang sohih, ertinya:-

“Barangsiapa yang ingin menyembelih (berkorban), dan telah masuk 10 awal (Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya  sehinggalah sampai korban dilaksanakan." (Muslim, 3/39)

Justeru, majoriti ulama daripada mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.

Bagaimanapun, tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika boleh mengganggu kesempurnaan wuduk dan lain-lain kewajiban.

Korban dengan Bayar Sedekah Duit Tanpa Wakil Sembelihan


Tidak dibenarkan juga berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang telah disembelih daripada pasar lalu disedekahkan atas niat Qurban. Tatkala itu, pemberian daging dianggap sedekah biasa sahaja dan bukannya korban yang disyariatkan pada hari raya Aidiladha.

Pahala korban adalah jauh lebih hebat daripada bersedekah harganya sahaja. Hal ini adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain.

Adalah diingatkan jua agar meniatkan korban itu adalah kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk menyedekahkan daging atau lain-lain niat. Firman Allah yang bermaksud:

“Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Hajj : 37)


Kongsi Lembu
Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan dibahagikan kepada tujuh bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a.

Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan.

Sebuah riwayat hadis pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang ingin berkorban. Ertinya;

"Hadirkanlah dirimu pada waktu sembelihan, diampunkan bagimu daripada titisan darah sembelihanmu yang pertama"

Mematahkan Tulang Dan Tanduk Binatang Korban


Majoriti ulama mengharuskannya manakala tegahan untuk mematahkan tulang hanya dalam hal akikah dengan doa ia menjadi kebaikan kepada si bayi berdasarkan hadith riwayat Al-Bayhaqi. Maksudnya;

“Sunnah adalah dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor bagi perempuan, dimasak dan tiada dipecahkan tulangnya.” ( Riwayat Al-Bayhaqi dan Al-Hakim)


Namun tiada sebarang nas atau dalil yang menegah dalam bab sembelihan korban.

Binatang Terbaik untuk Korban

Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau.

Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.

Korban di Luar Kawasan

Hukum asal, yang terbaik adalah sembelih dengan tangan sendiri di dalam kawasan bagi manfaat orang sekeliling.

Namun, diharuskan mewakilkan seseorang menyembelih di luar kawasan kerana hukum daging Qurban boleh disimpan dan diagihkan kepada sesiapa jua sama ada di dalam kawasan atau mereka yang di luar.

Namun, ulama Mazhab Shafi’e tidak membenarkan dipindah keluar kawasan jika di dalam kawasan masih terdapat yang memerlukan. Demikian pendapat sebahagian ulama kontemporari (Ibn Uthaimin & Majlis Fatwa Kuwait) kerana kehilangan maslahat sebenar daripada udhiyyah. Bayangkan apabila kita mewakilkan seseorang lain melaksanakan korban itu sudah menyebabkan kita terluput daripada melaksanakan sunnah sembelihan dengan tangan sendiri sebagaimana Rasulullah tidak pernah mewakilkan sembelihan baginda kepada orang lain.

Malah sewaktu hari raya korban berlangsung, bagi mereka yang mewakilkan kepada pihak lain, apakah yang dapat mereka rasakan daripada ibadah korban kecuali hanya seolah-olah menyedekahkan wang sahaja, sepatutnya korban melebihi dari hanya sekadar sedekah wang dan makanan. Korban adalah suatu ibadah khas menghidupkan syiar dalam komuniti dan diri.

Gabung Korban dan Akikah

Mazhab Syafi’e, Maliki dan Pandangan Ahmad: Tidak boleh kerana maksud keduanya berbeza. Korban objektifnya untuk diri dan menaikkan syiar Allah, manakala akikah adalah tanda kesyukuran atas kurniaan anak. Imam Ibn Hajar Al-Haithami Al-Syafie, menyatakan bahawa - jika diniatkan seekor kambing untuk korban dan akikah sekaligus, tiada diperoleh salah satu antara keduanya, kerana keduanya sunnah yang maqsudah atau khas pada tujuan tertentu.

Sementara itu, Mazhab Hanafi, Pandangan Ahmad, al-Hasan Basri, Ibn Sirin dan Qatadah serta Majlis Fatwa Kuwait - Harus digabung semua dengan niat korban atau sebahagian korban dan sebahagian akikah.

Pandangan yang terpilih adalah tidak menggabungkannya jika punyai kemampuan.

Pembahagian Daging

Daging korban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan seperti berikut :
1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berkorban,
1/3 (sepertiga) kepada fakir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara dan
1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.

Agihan ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud;

"Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan fakir." (Al-Haj : 28) 

dan juga firman Allah SWT yang bermaksud;

"Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya" (Al-Haj : 36)


Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian harus (dibenarkan) untuk tidak mengikut cara pembahagian ini samada untuk makan keseluruhannya atau kebanyakkannya.

Upah kepada Tukang Sembelih dan Lapah Serta Jual Daging Qurban

Dilarang memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal), Namun, harus jika dia termasuk daripada kalangan fakir miskin atau diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud;

“Rasulullah mengarahkan aku agar tidak memberi pelapah sesuatu apa (upah) pun.” ( Riwayat Al-Bukhari)

Namun, boleh diberikan daging korban sebagaimana orang lain.

Tidak dibenarkan juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya. Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil Korban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan.

Dibenarkan untuk menyimpan daging korban walaupun melebihi 3 hari berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Muslim.

Memberi Daging Korban kepada Orang Bukan Islam


Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya haram, ada yang mengatakannya makruh dan Mazhab Hanbali, Hanafi mengatakannya sebagai harus kerana ia bukannya sedekah wajib. Namun tiada khilaf, mendahulukan umat Islam adalah lebih utama dalam hal ini.

Berkorban atau Membayar Hutang

Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan, berkorban sekali setahun demi tawaran pahalanya?.

Justeru, untuk menentukan keutamaan sama ada menjelaskan hutang atau melakukan ibadah korban kita perlu melihat kepada jenis hutang, tempoh janji bayaran semula dan kemampuan orang yang berhutang.

Jika dari jenis hutang yang telah terancang pembayarannya seperti hutang bank dan selepas ditolak semuanya masih ada baki wang, tatkala itu individu tersebut sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan hutang tidak rasmi daripada individu lain atau rakan-rakan serta tempoh yang dijanjikan.

Jika tempoh langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan akan datangnya boleh menampung semunya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu  barulah ibadah korban menjadi utama untuk dilaksanakan.

Hal ini amat jelas kerana ibadah korban hanya sunat muakkad sahaja menurut majoriti mazhab mankala melangsaikan hutang dalam tempohnya adalah wajib.

Jika disebabkan ingin berkorban sehingga menyebabkan rakan pemberi hutang pula ‘terkorban', hubungan persaudaraan ‘terkorban', atau hingga menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak wajar sama sekali untuk berkorban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian hutang berbanding berkorban. Demikian pandangan ringkas saya.

Sembelih Korban Guna Ayam

Asal hukum mesti bahimatul al-an’am sebagaimana disebut di dalam al-Quran. Ayam tidak tergolong dalam kategori itu. Bagi mereka yang tidak mampu, gugurkan kesunatan korban daripada mereka. Namun jika mereka ingin menyembelih ayam sebagai ganti, hanya menjadi sedeqah biasa. Diriwayatkan Ibn Abbas pernah membeli daging dengan harga satu dirham dan berkata, “nah, inilah korban Ibn Abbas,” iaitu secara majaz.

Korban oleh Organisasi & Syarikat?

Ramai yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan ini. Adakah sebuah syarikat boleh mengeluarkan peruntukan tertentu untuk membeli 20 ekor lembu dan berkorban atas nama syarikat?

Jawab ringkas saya - "tidak boleh !" Ibadah korban adalah ibadah yang dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu. Ibadah ini bukan untuk organisasi yang bukan manusia. Justeru, jika sebuah organisasi ingin melaksanakannya, mesti menghadiahkannya kepada mana-mana Pengarah atau kakitangannya.

Ketika itu, korban barulah sah dan menjadi korban oleh individu yang ditentukan namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat. Pihak syarikat terbabit boleh bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan bahagiannya dihadiahkan kepada kakitangan secara khusus untuk dilaksanakan sembelihan atau korban. Pahala korban akan hanya diperoleh oleh individu dan pihak organisasi pula (iaitu pemilik organisasi iaitu manusia) hanya mendapat pahala kerana ‘menghadiahkan' lembu atau bahagiannya kepada kakitangan sahaja.

Jika tidak mahu berbuat demikian, bermakna pihak syarikat mestilah meletakkan secara khusus 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga pengarahnya secara khusus juga. Bukan atas nama syarikat, tetapi individu.

Binatang yang Dikongsi

a) Yang boleh dikongsi : Lembu, Unta, Kerbau. Dalilnya dari hadis, yang bermaksud;

“Rasulullah berkongsi sewaktu hajinya bersama kaum Muslimin, seekor Lembu dibahagi tujuh bahagian.” (Riwayat Ahmad) 

b) Yang tidak boleh dikongsi (Ijma’ ulama): Kambing, kibasy dan sepertinya. Adapun kongsi pahala, terdapat khilaf dan sebahagian mengharuskannya.

Kongsi Pahala Qurban

a) Ketua keluarga diharuskan menyembelih satu bahagian lembu atau kerbau atau unta dan diniatkan pahalanya kepada keluarganya. Hal ini sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda Nabi SAW.
b) Namun, untuk kongsi pahala dengan seluruh syarikat atau negara, tidak dilakukan oleh sahabat nabi. Hanya Nabi yang berkorban dan menyatakan "Ini adalah untuk ummatku yang tidak berkorban. Disebutkan di dalam sebuah hadis bahawa Nabi membaca doa ini semasa ingin menyembelih, maksudnya;

“Dengan Nama Allah dan ya Allah terimalah daripada Muhammad dan keluarga Muhammad dan umatnya.

Siapa Patut Mulakan Qurban?


Jawabnya adalah imam di sesuau tempat tersebut dan diikuti dengan orang ramai, demikian sunah Nabi SAW berdasarkan hadis yang bermaksud;

“Berkata Ibn Umar r.a.’ ertinya : Nabi melaksanakan sembelihan sedang baginda berada di kawasan solatnya.

Berkata Imam Malik : “Imam menyembelih di kawasan solat dan agar tiada yang menyembelih satu orang pun sebelumnya.”

http://www.zaharuddin.net

No comments:

Post a Comment