Thursday 18 October 2012

330 Penguatkuasa Hadiri Persidangan Penguatkuasa Halal Malaysia 2012


KUALA LUMPUR, 4 Oktober 2012– Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Bahagian Hab Halal telah menempa satu sejarah baru kerana buat julung kalinya berjaya menganjurkan Persidangan Penguatkuasa Halal Malaysia 2012. Persidangan yang telah diadakan di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur ini bertujuan membincangkan isu-isu pemantauan dan penguatkuasaan Halal Malaysia secara bersama yang bersifat semasa atau berbangkit dan menyelaras tugas-tugas pelaksanaan penguatkuasaan Halal Malaysia bagi mengelakkan pertindihan (redundancy).

Ia menjadi platform penting untuk menjalinkan perkongsian pintar berkonsepkan Strategi Lautan Biru (Blue Ocean Strategy) sesama agensi penguatkuasaan mengenai maklumat pemantauan dan penguatkuasaan Halal di Malaysia selari dengan keperluan Akta Perihal Dagangan (APD 2011) dan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 serta Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Program ini amat signifikan kerana ia telah membincangkan pelbagai
pandangan, isu dan cadangan ke arah pengharmonian penguatkuasaan undang-undang berkaitan pemantauan dan penguatkuasaan Halal Malaysia di peringkat Persekutuan dan Negeri; termasuk Enakmen Jenayah Syariah Negeri-Negeri berkaitan halal, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) serta Undang-Undang Kecil Iklan Halal atau Peraturan Umum Premis Makanan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).                  
Sebanyak enam (6) kertas kerja perbincangan telah dibentangkan iaitu Isu-Isu Pelaksanaan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011), Isu-Isu Halal Berkaitan Farmaseutikal, Isu-Isu Halal Dalam Penguatkuasaan Akta Makanan 1983, Isu-Isu Halal Berkaitan Perkhidmatan Veterinar,  Isu-Isu Halal Berkaitan Pengimportan dan Kemasukan Produk serta Isu-Isu dan Cabaran Penguatkuasaan Halal Malaysia Berkaitan Akta Kerajaan Tempatan 1976, Undang-Undang dan Peraturan Premis Makanan, Pelesenan Perniagaan dan Pengiklanan Pihak Berkuasa Tempatan.
Persidangan ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Turut hadir Ketua Pengarah Jakim, YBhg. Dato' Haji Othman bin Mustapha.
Seramai 330 orang peserta yang mewakili pelbagai agensi penguatkuasaan iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Kastam Di Raja Malaysia (KDRM), Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Negeri-Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan seluruh (PBT) seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Negeri dan Majlis Daerah negara.
Persidangan pada kali ini turut menyaksikan pelancaran Sistem Persijilan Halal Malaysia Produk Farmaseutikal berpandukan Malaysian Standard MS 2424: 2012 Halal Pharmaceuticals – General Guidelines.
Bertemakan “Halal Malaysia - The Trusted Choice”; Persidangan ini akan dijadikan sebagai acara tahunan dengan melibatkan lebih ramai penguatkuasa dari agensi-agensi berkaitan untuk mencapai matlamat menjadikan pensijilan halal Malaysia sebagai pensijilan yang berintergriti dan terus diyakini semua pihak melalui keseragaman penguatkuasaan perundangan berkaitan halal.
Lima resolusi telah dihasilkan untuk tindakan semua agensi penguatkuasa yang terlibat, iaitu:
i.          Mengambil maklum bahawa peruntukan mengenai kawalan halal tidak terhad kepada peruntukan yang ada dalam Akta Perihal Dagangan 2011 tetapi ia juga secara langsung dan tidak langsung di dalam peruntukan undang-undang lain di beberapa agensi Persekutuan, Negeri dan Kerajaan Tempatan;
ii.         Berdasarkan peruntukan undang-undang tersebut, penguatkasaan halal bukan semata-mata tanggung jawab Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK), Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sahaja; malah semua agensi penguatkuasa termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), JPV, Jabatan Kastam Di Raja Malaysia (KDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut mempunyai peranan dalam penguatkuasaan halal mengikut fungsi dan tanggungjawab serta undang-undang di bawah agensi masing-masing;
iii.       Semua agensi penguatkuasa yang terdiri daripada KPDNKK, JAKIM, JAIN, KKM, JPV, KDRM dan PBT perlu meningkatkan persefahaman dan kerjasama dalam penguatkuasaan halal berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah agensi masing-masing;
iv.       Sistem perundangan kawalan halal di setiap peringkat perlu dimantapkan dengan mengkaji peruntukan undang-undang sedia ada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Kerajaan Tempatan; dan
v.        Mewujudkan Mekanisme Penyelarasan Penguatkuasaan Halal yang melibatkan semua agensi penguatkasa bagi memastikan keberkesanan penguatkuasaan halal yang akan diselaraskan oleh Jakim.

No comments:

Post a Comment