Monday 16 July 2012

IBRAHIM ALI CADANG RCI DRAF HUKUM HUDUD




BeritaOleh: imamsurau

"NONEAhli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali mencadangkan kerajaan supaya menimbangkan penubuhan suruhanjaya diraja (RCI) bagi menggubal draf undang-undang jenayah syariah hudud di negara ini.

Katanya, cadangan itu dibuat sebagai tujuan mendidik dan memberi penerangan khususnya kepada bukan Islam berhubung kebaikan hukumam itu seterusnya bagi mengelak dijadikan modal politik khususnya menjelang pilihan raya umum.

Ibrahim yang juga presiden kumpulan pendesak Melayu PERKASA berkata cadangan itu juga dibuat susulan timbulnya polemik selepas dibangkitkan oleh ADUN Kemelah Datuk Ayub Rahmat baru-baru ini.

"Kalau (ia) digubal dan disusun di kalangan tokoh-tokoh cendekiawan Islam, maka ia menjadi bahan dokumen akademik. Ia digunakan sebagai bahan pendidikan untuk memberi penerangan tentang kebaikan hukum hudud dan kaitannya dengan orang Islam.

"Begitu juga kepada bukan Islam untuk memahami dan mengetahui kebaikan hukum hudud itu," katanya dalam ceramah "Melayu Bersatu, Kuasa Penentu" di Shah Alam malam tadi.

Bercakap sempena perasmian pejabat PERKASA Selangor, Ibrahim berkata isu hukum hudud itu sering berbangkit disebabkan drafnya masih tidak ada, menyebabkan timbulnya pelbagai reaksi daripada pihak tertentu.

"Masalahnya sekarang, draf tidak ada. Yang kita tahu, ada hukum jenayah syariah. (Oleh kerana) belum ada drafnya, tapi sudah ada yang menolak, ada yang cakap macam-macam. Dan akhirnya boleh mengelirukan umat Islam, apatah lagi kepada bukan Islam," katanya.

Bukan tuntut pelaksanaan segera

Sebelum ini, dilaporkan ADUN Kemelah Datuk Ayub Rahmat dalam sidang DUN Johor baru-baru ini mencadangkan Johor menjadi negeri pertama di Malaysia melaksanakan hukum hudud "sebenar" yang berbeza dengan hudud PAS.

Hal demikian menimbulkan pelbagai reaksi pro dan kontra daripada pelbagai pihak antaranya Wanita Umno Kepala Batas dan Puteri Umno yang memandang positif pelaksanaan hukum itu, tetapi MCAmembantahnya.

hududIbrahim berkata cadangan beliau itu tidak bermaksud mendesak kerajaan melaksana dan menguatkuasakannya dengan kadar segera, tetapi pelaksanaannya dibuat "pada satu masa setelah negara mencapai satu tahap keselesaan".

"Bila ia dilaksanakan kita tidak tahu, Mungkin 10, 20 atau 30 tahun, kita tidak tahu. Ia menunggu masa, apabila sesuai daripada segi keupayaan, boleh dilaksanakan selepas adanya keselesaan.

"(Mungkin selepas) mendapat konsensus daripada majoriti rakyat, cukup dari segi penguatkuasaan, barulah ia boleh dilaksanakan. Apatah lagi apabila terhapus kemiskinan rakyat, tidak kira kaum, Mungkin pada masa itu, hukum hudud boleh dipertimbang dan dilaksanakan," katanya.

Tegas Ibrahim, pada ketika ini, draf tersebut boleh dijadikan sebagai bahan pendidikan bagi mengelakkan berlakunya perselisihan dan dijadikan modal politik sehingga boleh mencetuskan perselisihan antara agama dan kaum.

"Jadi cadangan saya ini tidak lebih daripada meredakan perselisihan dan mengelak hukum hudud dijadikan isu politik," katanya.

No comments:

Post a Comment