Monday, 16 July 2012

ARAK DALAM 'RAMADHAN SALE'.




PETALING JAYA: Langkah sebuah pasaraya di Sri Petaling membuat promosi arak Carlsberg dengan meletakkannya 'Ramadhan Sale' menyemarakkan darah umat Islam menjelang Ramadhan ini.

Iklan itu yang kemudiannya dimasukkan dalam facebook sekejap sahaja sudah menerima puluhan komen dari pengguna laman sosial itu.

Ramai yang marah-marah namun ada juga yang agak rasional dengan berkata, mungkin ianya dibuat oleh orang Bukan Islam yang tidak faham.

Oleh itu, mereka yang terjumpa iklan sebegini sepatutnya terus membuat bantahan kepada pihak pengurusan pasaraya ini.

Iklan ini seumpama promosi daging babi panggang yang dibuat oleh akhbar MCA, The Star dalam bulan Ramadhan yang lalu.

The Star telah menerima amaran ekoran penyiaran itu.

Namun pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus juga memberi amaran apabila The Star membuat satu lagi kesilapan apabila menyiarkan tulisan dan gambar penyanyi Amerika, Erika Badu yang bertatu nama Allah di dadanya yang telanjang.harakahdaily




Ulasan:

Di sini jelas menunjukan sesetengah individu terutamanya mereka yang bukan Islam begitu jahil untuk memahami  Islam dan budaya hidup umat Islam di negara ini. Mereka tidak tahu apa yang diharamkan oleh Islam termasuk berkaitan arak. Begitu juga mereka tidak tahu hakikat sebenar apa yang dikatakan bulan 'Ramadhan'. Walaupun negara telah merdeka 54 tahun yang lalu dan bukan Islam dapat tinggal bersama dengan Muslim di negara ini untuk sekian lamanya namun kegagalan mereka untuk memahami asas-asas kehidupan umat Islam adalah amat menyedihkan. Ini menunjukan ada satu yang tidak kena di sudut kaedah dakwah kita kpd bukan Islam. Mesej Islam gagal disampaikan kepada mereka.

Kejahilan untuk memahami Islam di kalangan bukan Islam mungkin boleh diterima namun bagaimana halnya dengan orang Islam yang masih jahil dengan agamanya. Kejahilan umat Islamlah yang menyebabkan bukan Islam begitu sukar untuk memahami Islam di negara ini. Ramai bukan Islam beranggapan Islam adalah agama untuk orang Melayu. Mereka tidak akan mendapat contoh yang sebenar berkaitan Islam selagi orang Melayu jahil dan tidak mengamalkan Islam dalam kehidupan seharian mereka.

Berkaitan promosi arak kerana meraikan ramadhan ini saya terfikir takkanlah tidak ada seorang pekerja muslim di kompleks membeli belah berkenaan untuk menegur iklan berkenaan sehingga akhirnya ia teriklan dan dibaca oleh orang ramai. Di mana peranan mereka sebagai pekerja Muslim. Saya yakin sekiranya ada pekerja Muslim yang berani mengingatkan, kepada pihak atasan perkara ini tidak akan berlaku.

Dalam kes ini saya tetap menyalahkan umat Islam terutamanya pekerja-pekerja di pusat beli belah berkenaan. Di sini pentingnya setiap individu Muslim agar menyayangi dan mencintai agamanya. Islam adalah milik semua orang Islam. Sebarkanlah dakwah walau dengan satu kalimah.Tegakkan yang hak.Jangan kerana sesuap nasi kita sanggup melihat agama sendiri dihina dan terhina.Mempromosikan arak atas nama Ramadhan yang mulia adalah penghinaan kepada Islam dan agama Allah.

No comments:

Post a Comment