Sunday, 29 April 2012

Kem Perkaderan Pendakwah Muda IPT berjaya Dilaksanakan






Cawangan Pengembangan, Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah menjalinkan kerjasama pintar (smart partnership) bersama Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) menganjurkan Kem Perkaderan Pendakwah Muda (KADER ’12) yang berlangsung di Pusat Pemantapan Akidah, Jelebu, negeri Sembilan.

Program yang berlangsung selama 3 hari bermula 20 hingga 22 April 2012 telah dirasmikan oleh Ybhg Tuan Haji Ali Bin Mohammed, pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Turut hadir ke Majlis Penutup Ustaz Jamal Bin Abdul Halim, Penguasa, Pusat Pemantapan Akidah.

Tuan Haji Ali Mohammed didalam ucapan perasmian penutup menyatakan bahawa di dalam Pelan Strategik Jakim 2009-2014 merujuk kepada Strategik 5, Jakim beriltizam untuk membina modal insan secara holistik khususnya dari kalangan mahasiswa di peringkat pengajian tinggi kerana golongan elit ini bakal menjadi “Future Leader” pelapis kepimpinan Negara pada masa hadapan.

“Sebagai Pemimpin Negara masa hadapan dan pendakwah muda, mahasiswa harus menanamkan 3 karektor penting didalam diri mahasiswa yang dapat diringkas melalui terma 3M iaitu Muallim, Mufakkir dan Muaddib. Apabila karektor 3M ini wujud secara tidak langsung mahasiswa boleh menjadi ikon dan qudwah hasanah kepada remaja serta masyarakat”, katanya.

Program ini diadun merangkumi aspek pengisian ilmu dan aktiviti berkumpulan. 3 Slot ceramah telah disampaikan oleh Dr Abdul Ghaffar Surip bertajuk Mad’u dalam Kerja-Kerja Dakwah, En Khairunnizam Muhd Supian bertajuk Internet : Medium Efektif Dakwah dan Ustaz Jamali Mohd Adnan bertajuk Peranan Jakim dalam Aktiviti Dakwah di Malaysia.

Menurut Ustaz Jamali Bin Mohd Adnan, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah, Jakim, program yang dilaksanakan ini hasil resolusi Persidangan Meja Bulat Pengukuhan Nilai-Nilai Murni IPT 2012 anjuran bersama Bahagian Hal Ehwal & Pembangunan Mahasiswa, Kementerian Pengajian Tinggi.

“Retreat ini menggariskan 3 objektif utama iaitu Membina kepimpinan mahasiswa yang berilmu, berdedikasi dan bertaqwa sebagai pelapis kepada kepimpinan negara masa hadapan (Future Leadership).Melatih kader-kader dakwah dikalangan pemimpin mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam menyemarakkan usaha dakwah Islamiah di kampus.Mewujudkan jaringan pintar antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pemimpin mahasiswa kampus disamping merangka pelan tindakan dakwah di IPT”, katanya.

Salah seorang peserta iaitu Siti Aminah Husin menyatakan program 3 hari yang julung-julung kali diadakan anjuran Jakim memberi banyak manfaat terutamanya kepada pemimpin mahasiswa tentang erti amanah, tanggungjawab, kemahiran sebagai pendakwah, kesatuan dalam berpersatuan dan elemen kerohanian.

“Program ini telah memberi saya kefahaman dan kemahiran untuk menjadi pendakwah berkaliber pada masa hadapan”. katanya.     

                

No comments:

Post a Comment