Wednesday 27 September 2017

Lelaki di Kelantan didenda kerana berseluar pendek untuk bermain futsal

 
Post Pic
KUALA LUMPUR: Lelaki beragama Islam dianggap melakukan kesalahan dan boleh didenda jika berseluar pendek di Kelantan.
The Star Online melaporkan, individu bernama Wan Khairul Hayyee Wali, 30, didenda kerana memakai seluar pendek untuk bermain futsal.
Pekerja am di sebuah kedai yang diberikan notis berkaitan kesalahan itu pada 10.45 Isnin malam memberitahu, dia memakai seluar pendek untuk bermain futsal sejak sekolah dan mendakwa tidak tahu wujudnya peraturan melarang pemakaian itu.

“Sangat mengejutkan saya bila pegawai penguatkuasa agama memberikan saya saman, mengatakan saya melanggar Enakmen Jenayah Syariah kerana mendedahkan lutut saya.
“Takkan lah mereka mahu saya pakai kain sarung untuk main futsal,” katanya.
Wan Khairul diarahkan untuk menghadiri sesi kaunseling bulan depan, sekiranya gagal berbuat demikian dia akan dihadapkan ke mahkamah syariah dan boleh didenda RM1,000 jika didapati bersalah.
Dia juga mendakwa cuba menjelaskan kepada pegawai itu yang dia dalam perjalanan untuk bermain futsal dan keluar daripada keretanya sebentar membeli burger untuk isterinya.
“Jika saya tak berhenti untuk membeli burger, saya tidak akan tahu bahawa adalah satu kesalahan untuk berseluar pendek biarpun kita dalam perjalanan nak bersukan," katanya lagi.
Wan Khairul memberitahu dia akan menghadiri sesi kaunseling itu.
“Sekiranya ia kesalahan, mereka perlu beritahu kepada orang awam. Bagaimana kita patut tahu pakai seluar pendek hendak main bola satu kesalahan?" tambahnya.
Pegawai Jabatan Agama Islam Kelantan menjelaskan kod pakaian itu hanya terpakai untuk orang Islam sahaja.
"Kita tidak akan mengambil tindakan terhadap orang bukan Islam. Kita juga tidak bertindak pun kepada perempuan bukan Islam yang pakai seluar pendek di tempat awam.”
Pegawai itu juga menjelaskan Wan Khairul tidak perlu membayar denda jika dia menghadiri sesi kaunseling yang diarahkan.
"Kami hanya mahu orang Islam berpakaian sopan ketika di tempat awam, selari dengan ajaran agama kita," katanya seperti dilapor The Star Online.

No comments:

Post a Comment