Friday 1 September 2017

Takbir dan Bacaan Qur'an Bergema Di dataran Merdeka



KUALA LUMPUR – Tampil berbeza kali ini, sambutan Hari Kebangsaan dipelbagaikan menerusi penganjuran Merdeka #QuranHour, yang terarah kepada pembangunan rohani.
Dataran Merdeka, lokasi penganjuran majlis itu mula dibanjiri peserta seawal jam 8 malam, termasuk mereka yang menyertai program Gema Wahyu yang diadakan di  Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, di sini petang tadi.

Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas itu bermula dengan solat Isyak berjemaah dipimpin Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syeikh Ismail Muhammad, diikuti laungan takbir raya menyambut ketibaan Aidiladha esok.



Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom kemudiannya memimpin laungan takbir Aidiladha sebelum bacaan pembuka diperdengarkan Syeikh Ismail melalui bacaan Surah Al-Fatihah dan Surah Al-Baqarah ayat satu hingga lima.
Selepas tamat bacaan pembuka, Solidariti Ngaji yang berlangsung selama lima minit, dimulakan dengan peserta yang dipecahkan kepada lebih 50 halaqah (bulatan kecil), cuba mengkhatamkan 30 juzuk Al-Quran.

Kemuncak program Merdeka #QuranHour adalah Solidariti Interaksi Surah Yasin oleh 21 pembaca utama yang memimpin bacaan Surah Yasin dengan Model Interaksi Surah Yasin yang dipaparkan di skrin gergasi sepanjang 200 meter.
Model Interaksi Surah Yasin itu menceritakan bagaimana cabaran dan isu yang sedang dihadapi dalam diri, keluarga dan negara dapat diselesaikan melalui panduan yang jelas daripada Surah Yasin.

Program diakhiri dengan bacaan doa beramai-ramai menjelang penghujung waktu Arafah bagi kesejahteraan rakyat, negara dan perjuangan umat di seluruh dunia.
Dianjurkan bersama oleh Sekretariat Merdeka, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Merdeka #QuranHour merupakan anjuran kali pertama  bertemakan 'Bangsa Berbudi dan Penyayang'.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas Datuk Hussamuddin Yaacub.
Kempen #QuranHour hari ini dimulakan dengan program World #QuranHour di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 10.30 pagi yang turut dijalankan serentak di seluruh dunia.-Bernama

No comments:

Post a Comment