Sunday 10 September 2017

Kahwin Mekah: Patuhi undang-undang elak masalah di kemudian hari , kata mufti



Post Pic
 
SHAH ALAM: Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman menasihati pasangan yang berniat untuk berkahwin di Mekah agar akur kepada undang-undang di negara berkenaan bagi mengelakkan masalah di kemudian hari.
 
Menurut Abdul Rahman, sungguhpun pernikahan itu tidak salah daripada segi hukum agama, namun soal dokumentasi perkahwinan merupakan perkara yang tidak boleh dipandang ringan. 
 
"Daripada segi hukum tak salah, dimana-mana pun boleh kawin. Tapi daripada segi peraturan, bila kita kahwin disana, kalau tak dapat kebenaran, bukti perkahwinan tak didaftarkan, akan mengundang masalah dikemudian hari. 
 
"Seperti perkahwinan di Thailand tanpa dapat apa-apa surat keterangan yang dia dah berkahwin. Mungkin (dikhuatiri) pasangan yang berkahwin di Mekah akan jadi begitu juga," katanya kepada Antarapos.
 
Justeru Abdul Rahman menasihatkan pasangan yang mempunyai keinginan sedemikian agar mematuhi setiap prosedur dikedua-dua negara iaitu Malaysia dan juga Arab Saudi, dan bukannya sibuk mengikut trend.  
 
"(Ikut peraturan) barulah perkahwinan itu tidak ada masalah bila berkahwin nanti
 
"Kita pun tak tahu disana guna wali hakim bagaimana, kita bimbang perkahwinan itu tak ikut syarak yang sebenarnya," katanya lagi. 
 
Semalam Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata perkahwinan rakyat Malaysia di Arab Saudi adalah dilarang kerana ia melanggar undang-undang negara tersebut.
 
Beliau berkata perkahwinan di Arab Saudi akan menimbulkan masalah buat pasangan tersebut ketika mereka mahu mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia kerana perkahwinan mereka tidak mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Arab Saudi.
 
Ujar Mas Ermieyati, perkahwinan hanya dibenarkan kepada individu bukan rakyat Arab Saudi yang menetap di sana yang memiliki kad Iqama. 

No comments:

Post a Comment