Wednesday 28 December 2016

Kenapa Amerika inginkan Syria?


ALANG IBN SHUKRIMUN | .

SEKALI fikir, agak pelik apabila Amerika dan kuasa besar dunia bersusah payah mengheret isu Syria ke serata tempat sehingga membawa kepada penggunaan veto. Apa faedah yang mereka akan peroleh jika Syria jatuh ke tangan mereka?

Sekadar sebagai penggerak PBB, Amerika dilihat begitu optimis menangani isu ini seolah-olah ingin memihak kepada pemberontak yang ingin menggulingkan kerajaan sedia ada. Resolusi PBB yang dibatalkan Rusia dan China tidak mematahkan usaha kuasa besar itu untuk mencapai hasrat jahatnya.



Antaranya ialah:
1.Syria didakwa sebagai kilang mujahidin ataupun pusat pengganas dunia. Perkara ini sejak sekian lama dimomokkan termasuk dalam siri-siri filem Hollywood (senjata Amerika).

Sejarah Syria sebenarnya menyimpan khazanah amat berharga dalam peradaban dunia. Selain daripada pernah menjadi pusat pemerintahan Empayar Rom Timur, Khilafah Islamiyyah juga pernah menjadikan Damsyik sebagai pusat pemerintahan mereka. Maka lahirlah cendikiawan dan pemikir islam yang tulen seperti Imam Nawawi, Ibnu Kathir, Ibnu Taimiyyah, Imam Ghazali.

Di era moden pula, ramai pejuang islam yang lahir dari sana seperti Mustafa Masyhur, Sayyid Hawa, Syeikh Izzuddin al-Qassam, Syeikh Ali Tantawi, Dr Wahbah Zuhaili, Ali AsSobuniy serta ramai lagi. Ianya menjadi pusat pengajian agama pilihan ramai negara-negara penentang Amerika seperti Pakistan, Rusia (Chechnya), Lubnan, Iran.

2.Pendirian kerajaan Syria yang menyokong perjuangan HAMAS amat merisaukan Amerika. Ditambah dengan wujudnya pengkalan politik HAMAS di Syria, ia menandakan hubungan baik mereka mampu mengancam Israel. Pelarian Palestin juga diberi keistimewaan sehingga diberi sebuah kawasan khas yang diberi nama Palestin untuk rakyat Palestin di pinggir kota Damsyik.

3.Selain HAMAS, Iran juga merupakan sahabat baik Syria. Rakyat Iran khususnya penganut Syiah boleh masuk begitu mudah ke Syria untuk menunaikan Ibadah mereka. Umum mengetahui ancaman Iran dan projek Nuklearnya yang dahsyat. Diberitakan Iran dan Hizubullah Lubnan tidak putus-putus membantu kerajaan Syria menentang pemberontakan.

4.Rakyat Iraq yang datang berlindung ke Syria juga menjadi masalah buat Amerika. Ada diantara mereka merupakan pesalah berbahaya yang diburu. Pada perang Amerika ke atas Iraq tahun 2002, Syria membuka seluas-luasnya sempadan untuk pelarian Iraq berlindung di sana.

5.Kedudukan Syria yang berjiran dengan Israel juga mengancam keselamatan sekutu Amerika itu. Ia dipisahkan oleh wilayah kontroversi Bukit Golan yang menjadi punca perbalahan Israel-Syria sejak sekian lama. Polisi Syria juga yang tidak mengiktiraf malahan memusuhi Israel cukup untuk membuatkan Israel tidak tidur lena berjiran dengan Syria.

6.Syria kaya dengan air mineral bersih. Sumbernya adalah dari sungai Furat yang turut merintangi Iraq dan Turki. Cukup untuk mengairi keseluruhan tanah Palestin dan tanah haram Israel. Jordan juga menikmati air daripada ihsan Syria.

7.Kedudukannya yang berada ditengah-tengah negara arab dan negara yang tidak sehaluan dengan Barat. Utaranya dipagari Turki, timurnya Iraq, dan baratnya adalah Lubnan.

8.Mengikut dokumen rancangan penubuhan Israel Raya, Syria merupakan sebahagian daripada tanah-tanah tersebut selain Iraq, Mesir Jordan dan Pelstin sendiri. Israel Raya adalah rancangan penubuhan sebuah entiti negara milik Zionis iaitu tanahnya adalah diantara sungai Dajlah dan sungai Furat.

Dari sudut ekonomi pula, rakan dagangan Syria merupakan China. Dengan krisis ekonomi negara-negara kapitalis hari ini, China dilihat sebagai sebuah kuasa besar masa depan yang akan menggantikan Amerika. Lihatlah, di mana-mana pun pasti akan ada produk dari China. Jenama-jenama antarabangsa pun semakin banyak membuka kilang di China.

Syria juga mengamalkan dasar ekonomi komunis/sosialis. Oleh sebab itu China yang paling malas menggunakan kuasa veto di PBB pun melakukannya dalam isu Syria ini. Menjatuhkan Syria merupakan antara jalan terbaik untuk mengekang pengaruh China.

Umat Islam perlu sedar, walaupun Syria tidak banyak membantu agama Islam, namun akibat jika negara tersebut jatuh ke tangan rejim Barat amat besar ke atas agama Islam. Musuh akan bertambah kuat, pertahanan mereka juga akan semakin mantap. Sebab itulah isu Syria harus diendahkan oleh semua muslim. Perlu ada kumpulan yang memastikan politik Syria kelak tidak lagi dimonopoli anak didik fahaman barat.

Bagi penulis pula, masa depan Palestin amat berkait rapat dengan politik Syria. Tiada guna berdemo dan memperjuangkan hak rakyat Palestin habis-habisan andai isu Syria dipandang hanya sebelah mata. Dengan era kebangkitan Islam di Mesir, Tunisia dan Libya ini, perlu ada kesinambungannya di Syria. Jangan pula kemenangan rakyat nanti dirampas anjing barat lalu menjadi pematah aspirasi kebangkitan arab. – HARAKAHDAILY 25/12/2016

No comments:

Post a Comment