Monday 5 December 2016

Disambut takbir, Jokowi kejutkan peserta demo anti-Ahok



Luar Negara

JAKARTA, 2 Dis - Presiden Joko Widodo dan Naib Presiden, Jusuf Kalla hari ini menyertai ratusan ribu umat Islam untuk menunaikan solat jemaah di pekarangan Monumen Nasional (Monas) sempena perhimpunan ‘Aksi Damai 2 Disember' di sini hari ini.

Hujan lebat tidak menghalang ratusan ribu umat Islam daripada terus membanjiri jalan-jalan utama di ibu kota termasuk Jalan Thamrin, kawasan Tanah Abang, Jalan Merdeka Selatan, Jalan Merdeka Barat dan sekitar Bulatan Patung Kuda.





Perhimpunan Áksi Damai 2 Dis' dianjurkan bagi menuntut penangkapan gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama yang lebih dikenali sebagai Ahok, kerana didakwa menghina al-Quran.
Umat Islam mula berarak ke kawasan berkenaan seawal 5 pagi selepas solat subuh untuk menyertai perhimpunan yang diisi dengan majlis ceramah, doa dan zikir sebelum solat Jumaat.



SOLAT JUMAAT TERAMAI

Kehadiran Jokowi mengejutkan peserta perhimpunan dan disambut dengan laungan takbir ‘Allahu Akbar' sebagai sokongan mereka bagi menjayakan perhimpunan itu.

Turut bersama menunaikan solat Jumaat di kawasan terbuka itu ialah Ketua Polis Republik Indonesia, Tito Karnavian dan Penglima Tentera Nasional Indonesia, Gatot Nurmantyo.

Ketua Gerakan Nasional Pengawal Fatwa (GNPF) Majlis Ulama Indonesia, Habib Rizieq Syihab, ketika membaca khutbah Jumaat, menyentuh mengenai peranan umat Islam untuk mengutamakan hukum Allah dalam apa juga urusan bagi memastikan tiada pihak yang memandang rendah terhadap Islam.

Jokowi, dalam ucapan ringkasnya selepas solat Jumaat, mengucapkan terima kasih kepada semua peserta perhimpunan yang mematuhi arahan supaya perhimpunan itu berlangsung dengan aman, dan meminta semua bersurai dengan tertib.

Perhimpunan itu sebagai susulan demontrasi 4 Nov lepas bagi mendesak pihak berkuasa menahan Ahok ekoran ucapannya di Kepulauan Seribu, dua bulan lepas.


Dalam ucapan bertemu pengundi itu, Ahok telah dipetik berkata meminta umat Islam tidak terpedaya dengan sesetengah pihak yang menggunakan surah Al-Maidah supaya memilih golongan bukan Islam untuk menjadi pemimpin mereka. - Bernama

No comments:

Post a Comment