Monday 19 December 2016

Mansuh hukuman khalwat: G25 galak perbuatan zina



Berita

BANGI, 18 Rabiulawal 1438H, Ahad – Cadangan dan saranan kumpulan yang kononnya dianggotai oleh individu Melayu profesional – G25 berhubung pindaan undang-undang berkaitan khalwat dan memansuhkan hukumannya, dianggap sebagai menggalakkan perbuatan zina di Malaysia.

Ketua Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman berkata, individu yang menggalakkan kepada perbuatan jenayah dalam Islam seharusnya ditangkap dan dihukum.


"Apabila mereka menentang undang-undang khalwat yang berkesan mencegah perbuatan zina daripada berlaku dengan mudah, maka itu bermakna mereka menggalakkan zina," katanya kepada Ismaweb, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan yang dikeluarkan kumpulan itu semalam, yang mempersoalkan jenayah khalwat di Malaysia selepas anggota polis dan seorang lagi cedera, ekoran dua sebuan yang dilakukan, baru-baru ini.



Ia berikutan awal bulan ini, seorang anggota polis terbunuh ketika cuba melarikan diri daripada serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan memanjat keluar melalui tingkat empat sebuah apartment, manakala dalam serbuan berasingan, seorang lagi cedera parah apabila terjun dari sebuah bangunan.
Jurucakap G25, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim berkata, kes kematian akibat kemalangan dan kecederaan ini sepatutnya meningkatkan perhatian orang ramai, sama ada kesalahan seperti khalwat itu perlu terus menjadi satu jenayah, memandangkan pelaksanaannya di bawah undang-undang syariah sering membawa malu kepada sistem keadilan negara.

Membidas kenyataan itu, Ustaz Mohd Hazizi berkata, kes kematian melibatkan kejadian melarikan diri daripada pihak berkuasa bukan hanya berlaku ketika penguatkuasaan undang-undang khalwat sahaja, bahkan turut merangkumi undang-undang lain.

"Undang-undang tetap undang-undang, tidak perlu dimansuhkan atas kelemahan pihak penguatkuasa. Kalau pihak penguatkuasa memilih bulu, maka perbetulkan pihak penguatkuasa, bukan mansuh undang-undang.

"G25 adalah golongan yang tidak kisah anak dan cucu mereka berkhalwat dengan isteri atau suami orang. Bertaubatlah. Saranan G25 boleh menggalakkan keruntuhan rumahtangga yang lebih dahsyat," katanya. - ISMAWEB

No comments:

Post a Comment