Tuesday 6 December 2016

Raja Salman batal caj visa haji dan umrah, lapor media Arab



Berita


BANGI, 5 Rabiulawal 1438H, Isnin – Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz, dilaporkan mengeluarkan perintah diraja membatalkan caj visa haji dan umrah yang dikenakan sejak awal Oktober lalu.

Anggota Jawatankuasa Tertinggi Haji dan Umrah, Nasir Toruk dipetik Alborsa News sebagai mengesahkan pembatalan caj berkenaan, lapor Middle East Monitor.

Langkah itu dibuat selepas Penjaga Dua Masjid Suci itu menerima bantahan daripada umat Islam di seluruh dunia, berikutan tindakan mengenakan caj visa sebanyak SR2,000 kepada mereka yang mengerjakan ibadah itu buat kali kedua dan berikutnya.



Bagi jemaah kali pertama, caj visa dibayar sepenuhnya oleh kerajaan Arab Saudi.
Sebagai tambahan kepada pembatalan itu, kerajaan Arab Saudi dikatakan akan memberi dua visa percuma kepada setiap syarikat berlesen yang menguruskan haji dan umrah.
Bagaimanapun, agensi pengendali haji dan umrah dilaporkan belum menerima notis rasmi mengenai pembatalan itu.


Laporan dakwaan bahawa Arab Saudi membatalkan caj visa itu hanya berlegar di dalam media Arab Saudi. – Agensi

No comments:

Post a Comment