Saturday 29 July 2017

Fatwa perlu diberi kuasa perundangan untuk ikat Mahkamah Sivil - Khairuddin Aman

Post Pic
SHAH ALAM: Fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan harus di diberi kuasa perundangan untuk mengikat Mahkamah Sivil dan isu-isu bersabit dengan agama Islam.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali berkata amat malang untuk Islam yang diagungkan sebagai agama Persekutuan namun sebarang fatwa berkaitannya langsung tidak punya kuasa.
Beliau berkata demikian mengulas keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan anak luar nikah boleh dibinkan nama bapanya, yang secara jelas melanggar hukum syarak.

"Penghakiman Mahkamah Rayuan ini lebih malang lagi mendedahkan bahawa fatwa langsung tidak menjadi rujukan dan tidak mengikat Mahkamah Sivil dalam isu-isu bersabit hukum. 
"Secara jelas penghakiman Mahkamah Rayuan mendedahkan bahawa fatwa-fatwa yang dikeluarkan sebuah badan agama - apatah lagi fatwa oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang sememangnya tidak mempunyai kuasa perundangan- tidak mempunyai kuasa undang-undang melainkan fatwa itu diterima atau diguna pakai sebagai undang-undang persekutuan menerusi Parlimen," tegasnya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebooknya.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan fatwa yang dikeluarkan sama ada di peringkat persekutuan mahupun yang diwartakan di peringkat negeri adalah undang-undang sah.
Beliau mengakui keterbatasan ikatan fatwa yang diputuskan Jawatankuasa Fatwa kebangsaan tiada kuasa ikatan perundangan (legal binding) kerana kuasa agama merupakan kuasa negeri.
“Namun fatwa yang diputuskan Jawatankuasa Negeri setelah diperkenan Tuanku Sultan dan diwartakan masih perlu diambil kira apabila pertikaian adalah berkaitan dengan hukum syarak berdasarkan undang-undang yang diluluskan di bawah bidang kuasa negeri,” tambahnya, merujuk kepada Jadual Kesembilan Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, mahkamah mempunyai tanggungjawab undang-undang, agama dan moral untuk merujuk kepada hukum syarak apabila ia melibatkan kepentingan orang Islam, dan agensi kerajaan sendiri seperti Jabatan Pendaftaran Negara perlu bertindak sebagai agensi yang melaksana semua undang-undang yang sah termasuk yang berhubung kait dengan hukum syarak.

No comments:

Post a Comment