BAITULMAQDIS: Insiden keganasan kembali tercetus di Masjid al-Aqsa selepas rejim Zionis bertindak menyerang penduduk Palestin di kawasan pintu masuk masjid itu dan menyebabkan kira-kira 18 orang cedera.
Kelmarin, pihak berkuasa Israel membuka semula Haram al-Sharif yang menempatkan al-Aqsa dan Masjid Kubah Batu di Baitulmaqdis Timur, dua hari selepas ia ditutup susulan insiden serangan tembakan di kawasan tersebut.
Orang Islam bagaimanapun enggan memasuki kawasan itu sebagai tanda protes terhadap langkah baru yang dikuatkuasakan termasuk pengesan logam dan kamera keselamatan.
Puluhan jemaah menunaikan solat Zohor di luar al-Aqsa bersebelahan pintu masuk Lions Gate ke Kota Lama.
"Kami menolak perubahan yang dikenakan rejim Tel Aviv. Kami tidak akan melalui pemeriksaan pengesan logam ini," tegas Pengarah al-Aqsa, Sheikh Omar Kiswani.
Persatuan Palang Merah Palestin (PRCS) dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai empat penduduk Palestin turut diberkas dalam kejadian itu.
"Rejim Zionis juga bertindak biadab menceroboh al-Aqsa. Mereka memecahkan kunci laci dan peti besi dengan alasan untuk memeriksa masjid ketiga paling suci orang Islam itu," jelas jurucakapnya.
Keputusan provokasi menutup al-Aqsa turut menerima kecaman dari negara Islam dan Liga Arab menyifatkan ia sebagai 'langkah berbahaya' dan penutupan itu melanggar hak asas penduduk Palestin.
No comments:
Post a Comment