Monday 21 October 2013

MABIMS Mendokumentasikan Sejarah Sempena Ulang Tahun Ke-25

“Suatu bentuk kesepakatan yang bergerak atas dasar keagamaan bagi menjaga kebajikan umat Islam tanpa mencampuri hal-hal politik.” Demikian antara tonggak pencetus tertubuhnya Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura yang dikenali sebagai MABIMS. MABIMS ditubuhkan pada 7 Ogos 1989, hasil daripada Muktamar Ke-4 Menteri-menteri Wakaf dan Hal Ehwal Agama yang berlangsung di Jeddah, Arab Saudi pada 17 hingga 19 Mei 1989.
 
Kini, hampir 25 tahun MABIMS bergerak memacu misi dan visinya untuk kepentingan umat Islam sejagat khususnya di alam Nusantara. Pelbagai aktiviti dan program yang telah dilaksanakan sepanjang meniti usia kematangannya. Satu lagi produk MABIMS yang telah direncanakan dan sedang dihasilkan iaitu projek mendokumentasikan segala aktiviti sepanjang 25 Tahun MABIMS.
 
Malaysia telah diberi tanggungjawab menggalas projek dokumentasi ini yang akan diterjemahkan dalam bentuk buku coffee table. Mengorak langkah pertama untuk melahirkan produk ini, satu Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal 25 Tahun MABIMS yang diurusetiakan oleh Bahagian Penerbitan, Jakim  telah berlangsung pada 7 hingga 9 Oktober 2013 bertempat di Hotel Aston, Nilai, Negeri Sembilan.
 
Pertemuan perwakilan dari keempat-empat negara ini, iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura bertujuan membincangkan draf awal kandungan buku coffee table yang akan diterbitkan pada tahun 2014. Seramai lima orang perwakilan dari negara anggota MABIMS telah menghadiri mesyuarat ini iaitu dari Negara Brunei Darussalam, Tuan Haji Abdul Rahman bin Mat Zin danTuan Haji Nor Yusof Ain bin Haji Mohd Noor; dari Republik Indonesia, Drs. Agus Sholeh dan Drs. Amran Arifin; dan dari Republik Singapura Tuan Sharin bin Abdul Rahim. Mesyuarat turut dihadiri oleh lapan orang pegawai dari Malaysia.
 
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Ustaz Abdul Hamid bin Mohamed Salleh, Pengarah, Bahagian Penerbitan, Jakim. Perasmian Penutup disempurnakan oleh YBhg Dato’ Haji Razali bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Ustaz Abdul Hamid bin Mohamed Salleh, Pengarah Bahagian Penerbitan Jakim.


Ahli-ahli mesyuarat sedang meneliti kertas kerja.
Majlis Penutupan disempurnakan oleh YBhg Dato’ Haji Razali bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim.
YBhg Dato’ Haji Razali bergambar kenangan bersama delegasi MABIMS dan ahli-ahli mesyuarat.


No comments:

Post a Comment