Monday 21 October 2013

Tahniah! Pelantikan Felo Fatwa dan Pengumuman 92 Kenaikan Gred PTAD


Bertempat di Dewan Syura JAKIM telah berlangsung Majlis Penyerahan Surat Lantikan Felo Fatwa oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Majlis yang diadakan bersempena dengan Perjumpaan YB Menteri dengan Pegawai Tadbir Agama Daerah (PTAD) Seluruh Negeri. Majlis turut dihadiri oleh Y. Bhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor bin Hj. Husin, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa MKI, Y. Bhg. Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM merangkap Setiausaha Jawatankuasa Fatwa MKI, Timbalan-timbalan Ketua Pengarah JAKIM dan Pengarah-pengarah Bahagian di JAKIM.
 
Felo Fatwa diwujudkan hasil inisiatif daripada Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia sebagai medium atau platform bagi memperjelaskan isu-isu hukum yang bersifat segera dan semasa dalam media baru, dan membimbing masyarakat dengan pandangan hukum yang disepakati secara jama’ie sama ada secara atas talian, bersemuka atau melalui bahan penulisan.
 
Pada 9 Oktober 2013  Jakim selaku Urus Setia kepada Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah merealisasikan program Felo Fatwa ini sebagai satu pendekatan bagi memastikan umat Islam dibimbing dengan hukum yang berhikmah berasaskan syarak.Berdasarkan kepentingan tugas dan peranan yang akan dilaksanakan ini, inisiatif Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia ini telah mendapat persetujuan penuh dan disambut baik oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia dan juga sokongan padu Yang Berhormat Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
 
Dua (2) orang telah dilantik sebagai Felo Fatwa iaitu Y. Bhg. Tuan Hj. Lokmanulhakim bin Hussaindalam bidangsyariah dan kewangan Islamdan Y. Bhg. Dr. Mohd. Farid bin Mohd Shahrandalam bidang akidah dan pemikiran Islam. Tuan Hj. Lokmanulhakim, berusia 34 tahun merupakan seorang penyelidik daripada International Shariah Research Academy For Islamic Finance (ISRA), berkelulusan Sarjana dalam bidang Syariah (Fiqh) daripada Universiti Islam Madinah. Manakala Dr. Mohd. Farid bin Mohd. Shahran, berusia 42 tahun merupakan Felo Kanan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)  dan berkelulusan Ph.D. dalam bidang akidah dan pemikiran Islam daripada Universiti Islam Antarabangsa.

 
Antara tugas dan peranan utama Felo Fatwa ini ialah membantu Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia  meneliti dan memberi respon/penjelasan kepada masyarakat khusus dalam isu-isu ilmiah berkait hukum hakam yang banyak tersebar di media-media baru dengan lebih cepat dan efektif melalui saluran media terkini, serta memperjelaskan kecelaruan hukum hakam yang ditimbulkan oleh pihak-pihak yang tidak berautoriti  atau tidak mempunyai kepakaran dalam bidang hukum hakam.
 
Buat masa ini sebarang persoalan untuk dikemukakan kepada Felo Fatwa boleh dibuat melalui Facebook Fatwa Malaysia, atau twitter https://twitter.com/felofatwa  hash tag #fatwamalaysia atau melalui email: felofatwa@gmail.com dan juga Portal e-Fatwa http://www.e-fatwa.gov.my (Hubungi Kami).Sebarang persoalan atau maklumat lanjut mengenai Felo Fatwa boleh berhubung terus dengan Bahagian Pengurusan Fatwa Jakim.
 
Dalam majlis yang sama sebelum itu YB Mejar Jeneral dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan perjumpaan dengan Pegawai Tadbir Agama Daerah seluruh Negara bagi mengumumkan 92 jawatan PTAD bagi 10 negeri yang telah dipersetujui oleh JPA untuk dinaiktaraf. Daripada jumlah tersebut  sebanyak 37 jawatan telah dinaiktaraf dari gred S 44 ke S 48 dan sebanyak 55 jawatan telah dinaiktaraf dari gred S41 ke S44 berkuatkuasa pada 1 Oktober 2013 tertakluk kepada waran perjawatan negeri yang akan dikeluarkan oleh pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) masing-masing. 10 buah negeri tersebut ia Perak, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah, kelantan dan Melaka. Manakala bagi 4 buah negeri lagi iaitu Wilayah Persekutuan, Melaka, Sabah dan Sarawak masih dalam kajian oleh pihak JPA.
 
Kenaikan gred perjawatan ini menunjukkan pihak kerajaan memberi perhatian kepada institusi agama agar ianya setaraf dengan institusi lain. YB Menteri menegaskan  peranan PTAD bukanlah hanya sebagai pentadbir malah  juga sebagai pendakwah yang perlu bagi yang perlu menangani dan menyelesaikan isu-isu agama masyarakat setempat.  PTAD menjadi contoh ikutan dan tempat rujukan utama di daerah dan di negeri masing-masing. Memandangkan Institusi Hal Ehwal Islam ini merupakan insitusi yang penting dan perlu diberi perhatian maka Kerajaan Persekutuan sentiasa memberi perhatian dalam usaha memartabatkan institusi Islam.
 
 
 
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment