Monday 21 October 2013

ALIM Bakal Jadi Kenyataan


 
Pembinaan Akademi Latihan Imam Malaysia (ALIM) bakal menjadi kenyataan pada masa hadapan. YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah melakukan lawatan ke tapak cadangan ALIM di Yan, Kedah pada 7 Oktober 2013 yang lalu.
 
Lawatan turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Haji Othman bin Mustapha; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan YBrs. Tuan Haji Awang Khalid bin Mat Ali, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jakim serta beberapa orang pegawai daripada Bahagian Kewangan, Jakim.
 
Semasa lawatan tersebut, YB Menteri telah menyatakan persetujuan untuk meneruskan cadangan projek ALIM dan telah bersetuju dengan tapak yang dicadangkan di satu kawasan di antara Ruat dan Tanjung Jaga, Yan, Kedah. Tapak yang berkeluasan 15.89 hektar (39.28 ekar) dan merupakan tanah rizab Melayu ini terletak di tepi jalan utama Pekan Yan ke Singkir, Kedah. Proses perolehan tanah akan dibuat terlebih dahulu sekiranya permohonan peruntukan untuk projek ini diluluskan oleh pihak Kerajaan memandangkan tapak cadangan masih lagi menjadi hak milik individu.
 
ALIM akan memfokuskan latihan khusus kepada para pegawai yang menguruskan masjid di seluruh negara seperti imam, bilal, noja, ahli jawatan kuasa masjid dan sebagainya. Di antara objektif penubuhan ALIM ialah melahirkan pegawai dan jawatankuasa masjid yang kompeten, komited dan berintegriti, meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan pegawai dan jawatankuasa masjid sejajar dengan hasrat Kerajaan, dan memantapkan sistem pengurusan masjid di seluruh negara. Ini adalah bertepatan dengan fungsi masjid yang bukan hanya sebagai tempat ibadah semata-mata, tetapi sebagai pusat ilmu, budaya dan tamadun Islam, pusat kebajikan dan menjadi syiar kemuliaan Islam.
 
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment