Monday 1 April 2013

Isteri pengasas Al-Arqam ditangkap di Mekah disyaki pimpin ajaran sesat



KUALA LUMPUR 28 Mac - Seorang wanita warga Malaysia berusia 52 tahun yang dipercayai isteri kepada Allahyarham Ashaari Muhammad ditangkap di Kota Mekah, semalam kerana disyaki memimpin ajaran sesat di tanah suci itu.

Dia ditangkap bersama 95 lagi pengikutnya terdiri daripada rakyat Malaysia dan Indonesia dalam satu serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen Mekah dengan kerjasama Unit Risikan dan Pencegahan Jenayah semasa sedang menjalankan upacara keagamaan di situ.

Media tempatan negara itu, SABQ melaporkan, kumpulan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan pergerakan Al-Arqam yang diharamkan di Malaysia sejak Disember 2006. Laporan itu turut mendedahkan, wanita itu memperoleh pendapatan kira-kira RM850,000 sebulan hasil daripada menjalankan aktiviti keagamaan sesat tersebut.

"Pendapatan bulanan mewah itu hasil bayaran pengikutnya yang menyertai setiap upacara keagamaan sesat dan nasyid-nasyid syirik yang dinyanyikan. "Selain itu, kemewahan tersebut juga dipercayai hasil perniagaan beliau membekalkan makanan untuk jemaah umrah dan haji serta restoran dan kawasan rehat untuk mengaburi pihak berkuasa," jelas laporan akhbar tersebut.

Menurut maklumat yang diperoleh, Jabatan Imigresen sebelum ini menerima laporan mengenai aktiviti seorang wanita Malaysia berusia 52 tahun yang kerap menerima kunjungan rombongan umrah dan haji dari Malaysia dan Indonesia.

Wanita tersebut dikatakan menyewa beberapa vila mewah dan rumah rehat untuk penggunaan tetamunya sambil menyebarkan dakyah sesat yang bertentangan dengan undang-undang dan agama Islam.
Sementara itu, Pengarah Cawangan Khas Ibu, Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Akhil Bulat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai tangkapan wanita tersebut.

Katanya, butiran lengkap mengenai tangkapan tersebut masih belum diperoleh memandangkan tiada wakil Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditempatkan di sana.

"Kami masih menunggu masa yang sesuai untuk mengadakan perbincangan dengan pihak Kedutaan Malaysia di Mekah. "Tetapi buat masa ini, saya hanya boleh sahkan bahawa wanita yang ditangkap itu ialah Khadijah Aam iaitu isteri kepada pengasas Al-Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad," katanya.

Menurut Akhil, selain Khadijah, rakyat Malaysia lain yang ditahan ialah pengikutnya yang merupakan kakitangan syarikat Global Ikhwan Sdn. Bhd.Beliau berkata, penahanan Khadijah bersama pengikutnya itu disahkan oleh Konsulat Jeddah dan kesemua suspek kini ditempatkan di depoh tahanan imigresen Arab Saudi untuk siasatan lanjut sebelum dirujuk kepada pihak berkuasa.

"Jumlah sebenar pengikut Khadijah yang ditangkap dan bila mereka akan didakwa oleh pihak berkuasa dijangka diketahui Sabtu ini, memandangkan esok merupakan hari cuti di negara itu," ujarnya.
Al-Arqam merupakan gerakan agama di Malaysia yang diasaskan oleh Ashaari Muhammad yang juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah.

Ajaran tersebut sebelum ini tersebar dalam kalangan masyarakat Islam yang menganggapnya sebagai sebuah badan dakwah yang unggul sebelum ia difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994.


Sumber:


© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment