Friday 9 September 2016

Jemaah haji tunggu detik Hari Wukuf



MAKKAH: Hanya tiga hari lagi jutaan jemaah haji termasuk dari Malaysia akan bertolak ke Padang Arafah bagi menyempurnakan Hari Wukuf.

Rukun ibadat haji tersebut mesti dilalui setiap jemaah haji. Ia mesti dilalui walaupun sesaat sekalipun selepas gelincir matahari 9 Zulhijjah.

Waktu wukuf bermula ketika itu sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah. Jemaah haji akan bermalam di Arafah dan pagi 10 Zulhijjah jemaah haji sebelum berangkat ke Muzdalifah dan bermabit sehingga setengah malam sambil mengutip 70 anak batu.

Selepas masuk setengah malam bertolak pula ke Mina. Di Mina jemaah haji dibawa melontar di Jumrah Kubra mengikut KT masing-masing.

Jemaah haji akan berada di Mina sehingga 13 Zulhijjah bagi melontar tiga jumrah.  Pada 10 Zulhijjah  selepas melontar di Jumrah Kubra jemaah haji sudah boleh tahalul awal setelah bergunting.

Petugas Tabung Haji pada taklimat malam tadi memberitahu jemaah haji akan dibawa ke Arafah bermula pagi Sabtu bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.

Katanya jemaah haji hendaklah membawa keperluan pakaian untuk tempoh lima hari.

"Jemaah haji akan diarah ke lobi hotel mengikut tingkat yang mereka menginap bagi mengelakkan kesesakan di lif dan lobi hotel.

"Bas pula akan memuat sehingga 70 jemaah dalam perjalanan untuk membolehkan sampai pada waktu ditetapkan," katanya.

Beliau juga menasihatkan lebih banyak berehat sekarang bagi mengumpul tenaga untuk ke Arafah. – HARAKAHDAILY 7/9/2016

No comments:

Post a Comment