Friday 30 September 2016

10 hari pasca pilihan raya Jordan


IMRAN AL-MALIZI | .
Setelah 10 hari berlalunya pilihan raya umum di Jordan, seperti yang dijangkakan oleh para pemerhati, tiada banyak perubahan akan berlaku dalam sosiopolitik bagi negara yang mengamalkan sistem beraja ini.

Boleh dikatakan dalam tempoh kempen sehinggalah hari pembuangan undi pada 20 September 2016, seakan-akan tiada ‘kemeriahan’ seperti di negara-negara lain termasuk Malaysia. Poster dan kain rentang yang dinaikkan di merata tempat seperti iklan-iklan tuisyen atau perniagaan yang biasa kelihatan di bandaraya dan pusat bandar di negara kita.

Pembubaran parlimen telah diisytiharkan oleh Raja Abdullah II pada 29 Mei 2016 dan baginda telah melantik Perdana Menteri sementara Hani Al-Mulki menggantikan penyandang jawatan itu Abdullah Ensour.



Ini kali pertama Jordan membuat perubahan kepada undang-undang pilihan raya yang telah diwartakan tahun 2015. Ini menggantikan sistem ‘satu orang satu undi’ dengan sistem berdasarkan senarai yang direka untuk menggalakkan semua parti-parti politik terlibat setelah kontroversi sebelum ini di mana parti-parti pembangkang telah memboikot pilihan raya termasuklah sayap politik Al-Ikhwan Al-Muslimin.

Parti berhaluan Islam itu pernah menduduki 22 daripada 80 kerusi pada tahun 1989 sebelum mereka menyatakan tidak percaya dengan sistem pilihan raya dan memboikotnya. Sebahagian besar pemimpin daripada pertubuhan berhaluan Islam tersebut telah menubuhkan parti baru yang lebih moderat apabila tindakan memboikot pilihan raya dilakukan.

Dengan sistem yang baru ini, parti-parti politik telah kembali bertanding dalam pilihan raya kali ini. Seramai 1,293 calon-calon telah bertanding untuk merebut 130 kerusi di parlimen Jordan, 82% adalah non-partisan. Satu jumlah yang agak mengejutkan penyertaan besar-besaran daripada calon-calon bebas.

Namun begitu, kempen yang dijalankan oleh mana-mana calon tidak begitu dirasai, sementelah pilihan raya adalah ruang dan peluang untuk rakyat yang memilih kepimpinan negara secara demokratik.

Seorang pemandu yang saya temui, Abu Farouk, 40, mengatakan rakyat negara itu kurang berminat untuk mengambil peduli perkembangan pilihan raya kerana biasanya calon-calon yang bertanding tidak begitu mewakili kehendak mereka. Mereka hanya muncul semasa pilihan raya dan jika menang, mereka akan berada di ibu negara Amman dan seakan tiada hubungan lagi dengan pengundi.

Antara faktor lain yang dilihat adalah kegagalan ahli-ahli parlimen berperanan menangani masalah pengangguran dan mengubah polisi-polisi negara telah mengecewakan para pengundi mereka.

Agensi berita Al-Jazeera yang menemu bual Maha Oudat, calon bebas di wilayah selatan Maan melaporkan, kebanyakan orang tidak ambil peduli tentang pilihan raya ini.

“Saya turun menemui orang ramai, kebanyakan mereka tidak kisah. Mereka kecewa dengan prestasi parlimen sebelum ini,” ujarnya Oudat.

Tinjauan Institut Republikan Antarabangsa (IRI) yang dijalankan sejak bulan Jun 2016 mendapati 87% rakyat Jordan percaya tiada apa-apa pencapaian parlimen yang boleh dibanggakan. Manakala hanya 29% menganggap institusi perundangan itu mampu berperanan dengan baik. Lebih separuh daripada responden berkata, mereka mungkin tidak akan mengundi.

Gabungan pembangkang hanya meraih 15% daripada keseluruhan kerusi, di mana sebelum ini mereka menjangkakan akan memperolehi 20-30%.

Pilihan raya ini telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas dan telah dipantau oleh berpuluh-puluh pemerhati antarabangsa. Jumlah pemilih yang keluar mengundi dilaporkan hanya 37%, peratusan lebih rendah daripada pilihan raya sebelum ini (55%) berbanding jumlah pengundi yang layak (1.5 juta).

Pilihan raya kali ini dianggap sebagai adil dan telus oleh pemerhati antarabangsa dengan proses pembaikan yang dianjurkan berterusan bagi tempoh yang mendatang. - HARAKAHDAILY 29/9/2016

No comments:

Post a Comment