Friday 2 September 2016

Ahli Parlimen Islam wajib sokong pindaan Akta 355: Mufti Wilayah



Berita

BANGI, Khamis –  Semua Ahli Parlimen beragama Islam tanpa mengira parti wajib menyokong pindaan Akta
Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang  diusulkan Presiden PAS dalam perbahasan Parlimen sesi akan datang.

Mufti Wilayah, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, tindakan memberi sokongan kepada pindaan akta Mahkamah Syariah berkenaan adalah salah satu cara yang unggul demi memartabatkan keadilan Islam.


Ini kerana katanya, seseorang yang beriman wajib baginya memartabatkan perundangan Islam seupaya mungkin termasuk melalui pemerkasaan Mahkmah Syariah dan taqnin (kodifikasi/penggubalan undang-undang) yang diperlukan.
"Dengan RUU pindaan Akta 355, maslahat umat Islam akan terjamin dan dihormati. Ingatlah bahawa sebarang tindakan kita ini adalah sejarah yang pasti dibaca dan diteliti oleh generasi kita akan datang.

"Dengan kedudukan Islam yang begitu tinggi dan terserlah ini, sudah tentu tiada sebab untuk Syariah Islam tidak dapat dilaksanakan atau sekurang-kurangnya diperkasakan dalam konteks perundangan yang sedia ada," katanya menerusi kenyataan Bayan Linnas Siri 67 : Isu Cadangan Pindaan Akta 355 : Satu Pandangan.



Selain itu, Dr Zulkifli juga menggesa Ahli Parlimen bukan Islam untuk menyokong dengan harapan bahawa pindaan akta ini membawa aspirasi para pengundi Islam yang mahukan pemerkasaan Mahkamah Syariah di Malaysia.
Beliau berkata, hakikat yang sentiasa diulang, RUU ini sama sekali tidak terpakai kepada golongan bukan Islam kerana akta itu sendiri menjelaskan bahawa ia hanya melibatkan orang Islam sahaja.

"Akta itu sudah sedia ada wujud dan hanya akan dipinda dan diberi penambahbaikan.

"Justeru, ia bukan satu usaha ‘jalan belakang' ke arah pelaksanaan hudud kerana pemerkasaan sistem kehakiman Islam secara menyeluruh yang sangat diperlukan oleh umat Islam dan Malaysia.


"Usaha itu juga menggunakan sistem demokrasi berparlimen yang menjadi tonggak utama negara ini, prinsip itulah yang akan dipegang secara bersama," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment