Friday 24 July 2015

Majlis Profesional Halal Menjadi Realiti

Majlis Profesional Halal yang telah diluluskan penubuhannya oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) kali ke 58 yang bersidang pada 16 Disember 2014 telah bermesyuarat buat kali pertama pada 13 Julai 2015. Mesyuarat yang diadakan di Dewan Syura, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah dihadiri sebahagian besar anggota Majlis tersebut yang telah dilantik oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj. Baharom (B) Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Pengerusi Majlis tersebut Y.Bhg Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah, JAKIM telah mempengerusikan mesyuarat.
Antara anggota mesyuarat yang hadir adalah Timbalan Pengerusi Majlis Profesional Halal, Y.Bhg Tuan Haji Muhamad Nordin bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), JAKIM, Y.Bhg Datuk Seri Dr. Noor Hisham bin Abdullah, Ketua Pengarah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Fadilah binti Baharin, Ketua Pengarah, Jabatan Standard Malaysia (JSM), Dr. Mohd. Rashid bin Buyong Hamzah, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Kemahiran Malaysia (JPK), Prof. Dato' Dr. Mohd Yazid Abd. Manap, Pengarah, Institut Penyelidikan Produk Halal, UPM, Dr. Harlina Suzana binti JaafarTimbalan Pengarah Halal Supply Chain (HSC),Malaysia Institute Of Transport, UITM. Selain daripada anggota tersebut, mesyuarat ini turut dihadiri oleh wakil daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Pegawai Pejabat Penasihat Undang-undang JAKIM.
         
Majlis yang memiliki keanggotaan penuh terdiri daripada tujuh orang ketua agensi kerajaan yang berkaitan dan tujuh orang kumpulan pakar yang terdiri daripada kalangan ahli akademik serta wakil industri mengadakan mesyuarat ini bertujuan untuk memperkenalkan kerangka Majlis Profesional Halal dan membincangkan berkenaan terma rujukannya. Tujuan penubuhan majlis ini pula adalah untuk menjadi badan yang akan menyelia latihan halal, menentukan halatuju latihan dan memastikan kualiti latihan yang dijalankan mencapai tahap terbaik. Ia juga bagi memastikan segala maklumat yang disampaikan kepada industri oleh semua penyedia latihan adalah seragam.
Melalui mesyuarat yang diadakan kali pertama ini dua jawatankuasa kecil di bawah Majlis Profesional Halal telah dipersetujui untuk ditubuhkan. Jawatankuasa tersebut adalah Jawatankuasa Pembangunan Kurikulum Majlis Profesional Halal dan Panel Pengesahan Profesional Halal. Melalui penubuhan jawatankuasa ini diharapkan ia dapat melancarkan fungsi Majlis.

Sumber: Laman Web JAKIM



No comments:

Post a Comment