Friday 24 July 2015

Darul Quran JAKIM Anjur Simposium Tahfiz Nusantara


DSC_8437

Darul Quran, JAKIM telah menganjurkan Simposium Pendidikan Tahfiz Nusantara dan Multaqa Huffaz Kali ke-4 yang berlangsung pada 1-3 jun 2015 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM). Program yang dianjurkan dengan kerjasama ILIM dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu telah dirasmikan oleh Y.B. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Ketua Pengarah Jakim, YBhg. Dato’ Haji Othman bin Mustapha dan Timb. Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Y. Bhg. Dato’ Hj. Razali bin Sahabudin.
Y.B. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom (B) dalam ucapan perasmiannya mengucapkan syabas dan tahniah kepada para peserta yang terpilih untuk mengikuti simposium selama 3 hari 2 malam ini, kerana banyak pengalaman dan ilmu yang dapat dikongsi bersama tokoh-tokoh dalam bidang Tahfiz dari dalam dan luar negara.
Seramai 200 orang peserta dari seluruh Malaysia dan Nusantara seperti Negara Brunei, Indonesia, Thailand dan Singapura yang terdiri daripada Pengetua-pengetua Ma’ahad Tahfiz Negeri, Pensyarah-pensyarah Institut Pendidikan Al-Quran serta pegwai-pegawai yang berlatar-belakangkan pendidikan tahfiz telah mencurahkan pelbagai idea dan pandangan disempanjang simposium berlangsung.
Bersempena dengan Simposium Pendidikan Tahfiz Nusantara kali ini, Darul Quran turut menganjurkan Multaqa Huffaz yang mana penganjurannya akan masuk kali ke-4 bagi tahun 2015. Program ini bakal menghimpunkan semula para huffaz dari dalam negara yang mahir dan memiliki kepakaran dalam pelbagai displin ilmu khususnya pembangunan pendidikan tahfiz al-Quran untuk memberi pandangan berkaitan institusi tahfiz di Malaysia dan seterusnya merangka hala tuju Dewan Huffaz Kebangsaan.
Majlis Penutup Simposium Pendidikan Tahfiz Nusantara ini telah disempurnakan oleh Timb. Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Y. Bhg. Dato’ Hj. Razali bin Sahabudin pada 3 Jun 2015.
Sumber: Laman Web JAKIM

No comments:

Post a Comment