Friday 24 July 2015

JAKIM lancarkan Dasar Dakwah Negara


 

Baru-baru ini sempena kedatangan Ramdhan Jakim telah menjayakan Majlis Pelancaran Program Ihya' Ramadan 1436H/ 2015M Peringkat Kebangsaan dan Pelancaran Dasar Dakwah Negara bertempat di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Jalan Perdana, Kuala Lumpur. Majlis ini dilaksanakan dengan kerjasama agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) dan telah disempurnakan perasmian pelancarannya oleh YB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM).
 
Program ini merupakan gabungan 2 majlis utama iaitu Majlis Pelancaran Program Ihya' Ramadan 1436H/ 2015M Peringkat Kebangsaan dan Majlis Pelancaran Dasar Dakwah Negara. Majlis Pelancaran Program Ihya' Ramadan Peringkat Kebangsaan merupakan program tahunan Jabatan bertujuan mengeratkan silaturrahim dan kerjasama antara Jakim dengan agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Di samping itu, majlis ini menjadi medan informasi, nasihat dan peringatan mengenai hal ehwal berkaitan ibadah puasa dan perkara-perkara wajib ditunaikan sepanjang bulan Ramadan. Majlis Pelancaran Dasar Dakwah Negara (DDN) pula diadakan bagi memberi penjelasan mengenai DDN dan Pelan Tindakan Dakwah Negara (PTDN) kepada Panel Pemikir Dakwah Negara (PPDN) dan Ahli Jawatankuasa Induk Dakwah Negara (JIDN) yang telah dilantik. Sebagai kemuncak kepada pengisian majlis ini, YB Menteri di JPM telah menyempurnakan upacara perasmian pelancaran Program Ihya' Ramadan 1436H/ 2015M Peringkat Kebangsaan melalui penyampaian sumbangan bantuan Ihya' Ramadan, Pengimarahan, Kebersiahan dan Keceriaan Masjid, Surau jumaat dan Surau Wilayah Persekutuan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Begitu juga, Beliau berikutnya melancarkan Dasar Dakwah Negara.
 
Antara program yang menjadi pengisian dalam majlis ini, ucaptama majlis telah disampaikan oleh Sohibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan dengan kupasan tajuk "Ramadan Pemangkin Semangat Dakwah Dulu, Kini dan Pasca 2020". Berikutnya, majlis diserikan dengan program Wacana Dakwah Negara1436H/ 2015M yang menampilkan YBhg. Prof. Dato' Dr. Mohd. Yusof Othman, Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan YBhg. Prof. Dr. Zulkiple Abd. Ghani, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai panel jemputan khas manakala, YBhg. Ustaz Zakaria Othman dilantik selaku moderator. Perbincangan adalah berkisar tentang tajuk "Ke Arah Pelaksanaan Agenda Transformasi Dakwah Negara yang komprehensif dan Berkesan". 

 

 
 

 

 

 

No comments:

Post a Comment