Monday 25 November 2013

Konvensyen Pendakwah Negara 2013 bertemakan Tekno-Daie Berkualiti Islam Dihayati


Pada 7 November 2013 bersamaan 3 Muharram 1435H, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Dakwah telah mengadakan Konvensyen Pendakwah Negara 2013 bertemakan Tekno-Daie Berkualiti Islam Dihayati, bertempat di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur.
 
Tujuan Konvensyen ini diadakan adalah untuk:
 
1.       meningkatkan kefahaman, pemikiran Islam dalam menjayakan pelaksanaan dakwah secara  menyeluruh, bersepadu dan  berstrategi serta sesuai dengan situasi terkini;
 
2.        memberi pendedahan terhadap dasar-dasar dan isu-isu semasa negara;
 
3.       memberi pendedahan mengenai pendekatan dakwah yang terkini sesuai dengan era globalisasi; dan
 
4.       mencari titik pertemuan dan pengukuhan dalam penyebaran dakwah daripada pelbagai agensi dan badan dakwah.
 
Majlis Perasmian Konvensyen telah disempurnakan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Hj Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Majlis ini juga turut dihadiri oleh dif-dif kehormat seperti Ashabul Samahah Mufti-Mufti Kerajaan Negeri, Ketua-Ketua Agensi di bawah Menteri, Pengarah-Pengarah, Ketua Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, Wakil daripada Kerajaan Brunei dan Singapura serta pendakwah daripada Institusi Pendidikan dan Ngo-Ngo Islam.
 
Dalam ucapan Perasmian, YB Menteri telah merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di atas inisiatif mengadakan Konvensyen dan turut melahirkan rasa syukur kerana berjaya menghimpunkan para pendakwah negara yang komited memacu pembangunan modal insan berkualiti. YB Menteri juga menyeru agar para da’ie berusaha meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran teknologi baharu seperti penggunaan telefon pintar dan media sosial yang berpotensi menyebarkan dakwah dengan lebih mudah dan cepat. 
 
Konvensyen ini telah menampilkan enam (6) ahli panel yang terkenal dan berwibawa dalam bidang pendidikan dan dakwah bagi mengupas tema Konvensyen agar perjalanan konvensyen mencapai objektifnya.
 
Antara barisan ahli panel:
 
 
 
1.    YBhg. Tan Sri Prof. Dr. Mohd Kamal Hassan
Profesor Ulung,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Tajuk: “Tekno-Daie Berkualiti, Islam Dihayati”
 
 
2.    YBhg. Tuan Haji Dr. Nik Roskiman bin Abdul Samad
Pengarah
Pusat Media IKIMfm
Institut Kefahaman Islam Malaysia
Tajuk: ”Tekno Daie dan Dakwah Media Baru: Hala Tuju Jentera Dakwah, Peranan dan Impak terhadap Mad’u”
 
3.    YBhg. Tuan Haji Che Wan Alias bin Che Wan Abdullah
Pengurus Besar
Pembangunan Kandungan dan Penyelidikan Program TV Hijrah
Tajuk: ”Tekno Daie dan Dakwah Media Baru: Hala Tuju Jentera Dakwah, Peranan dan Impak terhadap Mad’u”
 
4.    YBhg. Dr. Zakir Naik
Tokoh Maal Hijrah 1435H
President
Islamic Research Foundation
 
5.    YBhg.Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri
Pendakwah dan Personaliti TV
”Akhlak Pendakwah Media Baru”
 
6.    YBhg. Dr Haji Zaharuddin bin Haji Abd Rahman
Pensyarah Kanan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
”Media Baru: Antara Dosa dan Pahala”
 
 
Moderator:
 
7.    YBhg. UstazBadli Shah bin Alauddin
Personaliti TV
 
8.    YBhg Tuan Haji Mat Radzi bin Haji Mat Ali
Ketua Penolong Pengarah Kanan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
 
9.    YBhg Tuan Haji Mohamad Zamri bin Mohamed Shapik
Ketua Penolong Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
 
10.YBhg. Ustaz Mohd Hariri bin Mohamad Daud
Penolong Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
 
Konvensyen yang telah bersidang selama sehari ini mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan daripada para jemputan. Melengkapkan lagi perjalanan Konvensyen ini, maka pembentangan Resolusi Konvensyen telah disampaikan oleh  YBhg. Dato’ Haji Ali bin Mohammed, Pengarah, Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
 
Sebanyak 7  gagasan Resolusi yang dicapai dalam Konvensyen tersebut adalah seperti berikut:

 
1.      Memberdaya mekanisme baru yang lebih bersifat futuristik dan mengoptimumkan manfaat kepantasan perkembangan teknologi maklumat dalam melaksanakan aktiviti dakwah.
 
2.      Mewujudkan ”Islamic cyber trooper” bagi menangkis serangan, provokasi, fitnah, dan sentimen kebencian terhadap Islam yang seringkali dimanipulasi oleh media. Strategi terancang ini, perlu ditangani bagi mengeluarkan Islam dari terus terpenjara dalam belenggu penghinaan di mata dunia.
 
3.      Memperkasa agenda pendekatan dakwah pemersatu dan dakwah islahiah bagi mengurangkan elemen ketaasuban dan aliran pemikiran yang pelbagai.
 
4.      Menyebarluas kefahaman Islam kepada non-Muslim dan gerakan dakwah terhadap komuniti yang terdedah dengan pengaruh yang boleh memesongkan akidah mereka.
 
5.      Memperkukuhkan jalinan kerjasama pintar serta mengakses kepakaran domestik dan antarabangsa untuk memperkaya maqasid dakwah.
 
6.      Menubuhkan Akademi Pendakwah Negara di Malaysia bagi melatih pelapis pendakwah yang mempunyai kemahiran ilmu dalam pelbagai disiplin dan menguasai teknologi ICT.
 
7.      Mewujudkan Dana Amanah Dakwah Kebangsaan (DADK) untuk membiayai aktiviti dakwah dengan kerjasama agensi-agensi bukan kerajaan (NGO-NGO Islam dan GLC Kerajaan).
 
Secara keseluruhannya, Konvensyen ini telah berjaya mencapai matlamat penganjurannya. Justeru, Sekretariat Konvensyen ingin merakamkan setinggi - setinggi penghargaan kepada semua pihak atas kerjasama dan penglibatan menjayakan penganjuran konvensyen. Semoga Konvensyen Pendakwah Negara pada kali ini, telah meninggalkan mutiara berharga kepada para dai’e dan InsyaAllah Konvensyen seperti ini akan terus dilaksanakan secara berterusan di masa-masa akan datang.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment