Monday 25 November 2013

Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil Kali ke-23 dan Pelancaran Buku Kompilasi Kertas Kerja Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil


Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil Kali ke-23 yang diadakan pada 31 Oktober hingga 2 November  2013 bertempat di Bayview Beach Hotel, Batu Feringgi, Pulau Pinang merupakan anjuran JAKIM. 
 
Persidangan ini dihadiri oleh 70 peserta terdiri daripada ahli-ahli Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, Mufti-mufti Kerajaan Negeri, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, YAA Ketua Hakim Syarie Negeri-negeri, Pengerusi/ Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri-negeri dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri-negeri. Manakala pengerusi persidangan ini adalah YBhg. Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM.
 
 
 
YBhg. Tan Sri Sheikh Ghazali bin Sheikh Abdul Rahman, Penasihat Syariah Jabatan Peguam Negara merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil. Ahli Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil yang menjadi pakar rujuk kepada persidangan ini.
 
 Objektif umum Persidangan ini adalah bagi mendapatkan pandangan negeri-negeri ke arah memperkemas dan memantapkan undang-undang Islam di Malaysia serta mendapatkan kata sepakat ke arah penyeragaman undang-undang di samping mengeratkan hubungan dan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri-negeri dalam hal ehwal perundangan Islam.
 
Jawatankuasa Teknikal ini berperanan membantu kerajaan melalui JAKIM menggubal model undang-undang Islam bagi tujuan penyelarasan dan penyeragaman di seluruh negara. Persidangan kali ini membincangkan draf Rang Undang-Undang Hibah. Cadangan untuk mewujudkan Rang Undang-Undang Hibah  adalah salah satu program tranformasi Kerajaan dalam memperkenalkan undang-undang baru dan khusus bagi menyelesaikan masalah pengurusan harta hibah kepada masyarakat dan menegakkan kewibawaan mahkamah dalam pengurusan harta secara lebih teratur.
 
 Hasil dan persetujuan daripada persidangan ini kemudiannya akan dikemukakan ke Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara.
 
 Majlis Perasmian dan Pelancaran Buku Kompilasi Kertas Kerja Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil
 
Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil kali Ke-23 telah dirasmikan oleh YB’ Dato’ Farizan bin Darus Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Dalam Persidangan ini juga, Buku Kompilasi Kertas Kerja Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil turut dilancarkan.
 
 
Buku ini mengandungi 10 koleksi kertas kerja yang membincangkan pelbagai topik dalam perundangan Syariah dan sivil, mencakupi undang-undang pentadbiran agama Islam, undang-undang harta, muamalat, keluarga, jenayah, perundangan dan kehakiman Syariah serta pendakwaan dan penguatkuasaan undang-undang. Ia merupakan hasil gagasan idea dan kepakaran ahli-ahli Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil serta tokoh-tokoh perundangan negara dalam mentransformasi dan memartabatkan undang-undang Islam di negara ini. Antara kandungan yang menarik dalam buku ini adalah topik mengenai pertukaran agama yang ditulis oleh Allahyarham Prof. Tan Sri Datuk Ahmad bin Mohamed Ibrahim selaku pengerusi pertama Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil.
 
 
 
 
 
Semoga buku yang diterbitkan ini dapat membantu memperkayakan korpus perbendaharaan ilmu khususnya dalam perundangan Syariah dan akan mencorakkan pemikiran serta meyakinkan umat Islam terhadap keunggulan Syariat Islam dan secara tidak langsung dapat dijadikan sebagai bahan rujukan kepada masyarakat.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment