Friday, 1 November 2013

EKSPEDISI KASIH QURBAN & AQIQAH KE KEMBOJA & VIETNAM TAHUN 2013

Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) Jakim dengan kerjasama Cambodian Muslim Intellectual Alliance (CMIA) telah berjaya mengadakan Ekspedisi Kasih Qurban & Aqiqah ke  Kemboja & Vietnam  pada 16 hingga 20 Oktober 2013 bersamaan 11 hingga 15 Zulhijjah 1434H.  Ekspedisi ini diketuai  oleh Y.Bhg Tn Hj Paimuzi bin Yahya Yang Di Pertua PKPU dan telah disertai oleh seramai 123 orang peserta dari pelbagai agensi kerajaan, swasta, NGO dan juga golongan pesara kerajaan. Ekspedisi ini adalah merupakan ekspedisi yang kelima semenjak dari tahun 2009.

Para peserta ekspedisi selain dari ahli PKPU adalah terdiri dari kakitangan Yayasan Taqwa MAIWP, Jabatan Agama Johor, Bank Simpanan Nasional (BSN), Majlis Sukan Negara (MSN), Masjid Muhammadi Angkasapuri, Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM), Persatuan Pesara Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Agama Islam Sarawak, Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR), Jabatan Agama Islam Wilayah Persektuan (JAWI), Jabatan Agama Islam Negeri Melaka (JAIM), JW United Sdn Bhd dan Percetakan Nasional Berhad (PNB). Kebanyakan para peserta ekspedisi tersebut adalah mewakili agensi masing-masing dalam menyediakan sejumlah sumbangan dana bagi menjayakan ibadah korban dan aqiqah di Kemboja dan Vietnam pada kali ini. Rakan-rakan media dari Bahagia Media Jakim, TV Al-Hijrah dan Utusan Malaysia juga turut membuat liputan di sepanjang perjalanan ekspedisi ini.

Misi utama ekspedisi ini adalah untuk membawa harapan dan hasrat rakyat Malaysia yang berhajat untuk melaksanakan ibadah korban dan aqiqah di Kemboja dan Vietnam. PKPU telah berjaya melaksanakan korban dan aqiqah di Kemboja dan Vietnam sebanyak 317 ekor lembu dan 38ekor kambing. Wakil Yayasan Taqwa telah menyumbangkan wang tunai  berjumlah RM15,000 kepada imam-imam masjid dan golongan miskin.  Pelbagai agensi telah menyumbang sebanyak 92 buah pam air bagi kegunaan masyarakat di pedalaman Kemboja dan Vietnam.Di samping itu, PKPU turut menyampaikan sumbangan untuk pembinaan Kompleks Pendidikan CMIA yang berjumlah RM60,000.00.

Secara keseluruhannya ekspedisi ini telah diselaraskan oleh Y.Bhg Ustaz Mohamad Farid Hosen selaku Executive Chairman CMIA. Beliau telah banyak membantu memastikan kelancaran semua aktiviti yang disusun di Kemboja dan Vietnam terutama yang melibatkan aktiviti ibadah korban dan aqiqah serta pelbagai bentuk bantuan yang telah disampaikan kepada pihak yang memerlukan di Kemboja dan Vietnam. Para peserta ekspedisi sangat berpuas hati dengan Ekspedisi Kasih Qurban & Aqiqah ke  Kemboja & Vietnam Tahun 2013. Semoga segala matlamat dan objektif yang telah dirancang tercapai serta mendapat keredaan Allah SWT.

Date: 
 Oct 31, 2013

No comments:

Post a Comment