Friday, 24 February 2012

MODEL BARU KAUNSELING (KAUNSELING SYARIE) AKAN DIGUBAL


JAKIM telah membuat satu keputusan bersejarah apabila Timbalan Ketua Pengarah JAKIM Us Razali Shihabudin telah bersetuju supaya pengubalan pendekatan Kaunseling Syarie dilakukan dengan kadar segera bagi kegunaan proses kaunseling di seluruh Jabatan dan agensi agama Islam di Malaysia. Beliau menyatakan demikian ketika mempengerusikan Persidangan Ketua-Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk (PNCR) Seluruh Malaysia Kali ke 26 di Kuala Lumpur semalam. Menurut beliau pendekatan ini adalah satu alternatif kepada kaedah ‘kaunseling konvensional’ yang diamakan selama ini.

Menurutnya juga pengubalan modul ‘Kaunseling Syarie’ boleh diguna pakai untuk menangani perkara-perkara berikut;

i.          Menjadi garis panduan kepada pengamal rundigcara di peringkat jabatan agama negeri dan persekutuan.

ii.          Menjadi garis panduan bagi latihan (TOT) para rundingcara, Imam, Pegawai Agama, pekerja sosial, sukarelawan dan lainnya di peringkat persekutuan dan negeri.

iii.         Utk dijadikan garis panduan dalam usaha menangani isu-isu sosial seperti masalah kekeluargaan, dadah, HIV/AIDS, remaja bermasalah, gejala murtad, gerakan pelampau agama, penganut ajaran sesat dan sebagainya yang berlaku di peringkat persekutuan dan negeri.

iv.         Ia juga boleh diguna pakai untuk pusat-pusat rawatan, pemulihan dan tahanan dalam usaha merawat para klien dan pesakit.

Selain penggubalan modul dan kurikulum utk kegunaan pusat-pusat latihan dan akademik JAKIM, seterusnya bagi memastikan model baru ini dapat dijayakan secara lebih berkesan beliau menyarankan beberapa langkah segera  perlu diambil oleh JAKIM seperti berikut

i.          Melatih semula para pegawai rundingcara di JAKIM dan JAIN menggunakan Modul Kaunseling Syarie yang akan digubal.
ii.         Melaksanakan Kaunseling Syarie di semua agensi Islam di peringkat Persekutuan dan negeri secara berperingkat.
iii.         Dicadangkan penggubalan Enakment di peringkat Negeri bagi membolehkan perlantikan Kaunselor Syarie bertauliah.
iv.        Dicadangkan pengubalan peruntukan Enakmen Negeri bagi mewujudkan Lembaga/Jawatankuasa Kaunselor Syarie di negeri-negeri.
v.         Menawarkan program akademik di peringkat sijil, diploma dan seterusnya di semua institusi-institusi Akademik dan latihan kendalian JAKIM dan MAIN seperti Darul Qur’an, Institut Kemahiran Islam Malaysia (IKMAS), Kolej Universiti Islam negeri (KUIN), Institut Latihan Islam Malaysia dan lainnya.

Pada pendapat saya keputusan yang diambil oleh JAKIM adalah amat tepat dan kena pada masanya. Sebenarnya, itulah antara peranan yang sepatutnya dilakukan oleh JAKIM selama ini. JAKIM perlu berperanan secara lebih aktif khususnya dalam usaha memartabatkan Islam di Malaysia dalam semua perkara termasuk pengembangan bidang ilmu Islam. Saya berkeyakinan JAKIM bukan sahaja mampu mengeluarkan teori-teori ilmu tapi sekaligus mengimplementasikan.

Ini kerana JAKIM mempunyai para pentadbir yang juga sebahagiannya mempunyai asas pendidikan yang tinggi setanding dengan mereka yang berada di menara gading. Dengan itu, JAKIM pastinya dapat mengeluarkan teori-teori ilmu baru dan seterusnya merealisasikan dalam aspek pentadbiran negara. Ini berbeza dengan institusi pengajian dan pusat-pusat Akademik seperti Universiti kerana mereka tidak mempunyai kuasa pentadbiran. Mereka memerlukan agensi-agensi atau jentera kerajaan lain untuk merealisasikan ilmu berkenaan. Ini antara kelebihan yang dimiliki oleh JAKIM.

Pengalaman JAKIM meneroka aspek kewangan Islam dan Makanan Halal lebih 25 tahun dahulu adalah bukti kukuh bahawa JAKIM mampu melakukannya. Ini terbukti industri kewangan Islam dan makanan Halal telah menjadi pemangkin ekonomi umat Islam di Malaysia khasnya dan dunia Islam amnya. Bahkan kedua-dua industri ini telah diterima dan diiktiraf oleh seluruh dunia. Aktiviti pembanggunan Islam yang dilaksanakan oleh JAKIM telah memartabatkan Malaysia di peringkat global.

Saya yakin bahawa usaha mewujudkan Model Baru Kaunseling yang dipanggil ’Kaunseling Syarie’ akan menempa pengalaman yang sama. Yang penting usaha tersebut hendaklah dirancang dengan teliti dan penuh sistematik. Insyaa Allah ’Kaunseling Syarie’ akan  menyumbang sesuatu kearah proses pembinaan tamadun  di Malaysia khasnya dan dunia amnya. Semoga usaha murni yang dilakukan oleh JAKIM ini akan berjaya dicapai satu hari nanti

1 comment: