SEORANG lelaki Jepun mendapat hidayah untuk memeluk agama Islam, selepas mendalami dan mempelajari agama-agama lain.Menerusi satu perkongsian wawancara yang disiarkan dalam sebuah video, lelaki berkenaan Yamamoto Qaym Naoki, memberitahu bahawa selepas beliau mempelajari semua agama, hanya Islam yang telah menjawab semua persoalannya.

"Sejak dari kecil saya berminat dengan agama-agama samawi, dan mula mempelajarinya sejak dari muda terutamanya agama Kristian," katanya yang juga merupakan mahasiswa di Universiti Kyoto.
Ujarnya sejak dari itu, dia aktif mendalami ilmu berkaitan agama yang terdapat di dunia ini.
"Ketika di Sekolah Tinggi, ibu saya telah membeli buku berkaitan agama, saya membacanya tetapi masih mahu mengetahui lebih lanjut," katanya lagi.




Oleh itu ujarnya, setelah dewasa beliau dinasihati oleh seorang profesor untuk mempelajari Islam di bumi Arab.
"Saya memeluk Islam di Mesir, di masjid Al-Azhar dihadapan Sheikh Hassan dan Sheikh Ali Go'ma, selepas memeluk Islam saya rasakan satu perasaan yang sungguh damai," katanya.

Katanya, dia benar-benar mahu mengetahui kebenaran tentang sesebuah agama selepas dia ditimpa satu penyakit kronik."Saya mula berfikir kepada diri saya sendiri semasa sakit, mengapa saya perlu melalui ini? Dan kenapa saya sakit dan tidak ada yang menolong?

"Dan selepas pulih, saya merasakan seperti saya perlu mengucapkan terima kasih, kepada DIA yang menyelamatkan saya dari penderitaan. Dan kemudian saya mula berfikir, mesti ada kuasa bergerak di dunia ini! Mesti ada ALLAH!," katanya.

Selepas itu, katanya beliau terus belajar tentang agama, untuk mencari kebenaran.
"Kemudiannya saya tahu bahawa Univerisiti Doshisha menawarkan kursus-kursus dalam agama, Kristian, Yahudi dan Islam, dan pengajian saya diteruskan disana.

"Semasa mengkaji, saya mendapati bahawa Islam mempunyai banyak jawapan kepada soalan-soalan  ketika saya sakit, jadi saya putuskan untuk bersama Islam," katanya