Thursday 19 January 2017

Raja Segala Amal



Agama"


Ustaz Hanafiah selalu muncul dalam rancangan Tanyalah Ustaz, TV9. Beliau berkunjung ke SKJ bersama dengan mudir Madrasah Raudhatul Jannah , Perak ,Ustaz Azhan Ishak. Beliau menyampaikan suatu pesanan yang sebenarnya menjadi kewajiban setiap muslim. Katanya raja segala amal ialah DAKWAH. Kata ustaz, kadang-kadang orang memandang kecil kerja dakwah ini. Manakala kebanyakannya pula melepaskan tanggung jawab ini ke bahu orang lain atau organisasi tertentu.

Ustaz memberi satu contoh yang mungkin selama ini kita tidak terfikir. Katakanlah ada seorang kawan  tidak pernah solat. Kita mengajar atau mengajak kawan itu mengerjakan solat. Akhirnya dengan berkat kesungguhan dakwah kita, ditakdirkan kawan itu pun tahu solat dan tidak meninggalkan solat lagi.



Masa berlalu, kawan kita tadi mempunyai anak. Diajar dan dipesannya pula anaknya itu agar mengerjakan solat. Lalu anaknya pandai solat dan mengerjakan solat dengan sempurna. Ketika itu kita sendiri pun mungkin tidak  tahu apa yang berlaku dalam kehidupan kawan kita itu. Tetapi apa pula yang berlaku di sisi Allah?

Tentunya Allah mengurniakan kepada kita pahala yang berterusan selagi kawan kita dan anaknya mengerjakan solat. Walaupun kita mati, pahala terus tercatat untuk kita. Kita sendiri pun tak sangka apa yang berlaku itu kerana pahala itu dalam ilmu Allah. Dan sebagai ahli barzakh pastinya pahala yang berterusan begitu merupakan suatu nikmat yang tak ternilai  besarnya kepada kita.

Allah dan Rasulnya Muhammad s.a.w. telah mengkhabarnya melalui al-Quran dan al-Hadis. Sayangnya kita selalu alpa, ghaflah dan memandang remeh ajaran agama kita. Kalau kita lakukan pun, kita jarang istiqamah sedangkan istiqamah itulah perkara yang Allah suka walaupun sekecil membaca sekali surah pendek al-Ikhlas setiap kali sebelum melelapkan mata.

Mudah-mudahan setiap orang daripada kita merebut peluang dalam kerja dakwah ini. Lebih-lebih lagi di akhir zaman ini di mana maksiat dan kesesatan berlaku di sekeliling kita. Seruan ke arah program sesat tak henti dari pagi hingga ke malam. Justeru, umat ini ada tanggungjawab di depan Allah untuk menyambung kerja para Rasul. Semoga kita tidak meremehkannya lagi. 
"

No comments:

Post a Comment