Thursday, 28 July 2016

Pengkaji Israel Umum Penemuan Perkuburan ‘Philistine’






Para pengkaji di Israel 
mengumumkan bahawa buat kali pertama, mereka menemui perkuburan bangsa ‘Philistine’. Perkuburan yang telah ditemui pada tahun 2013 itu akhirnya diumumkan minggu lalu.


Penemuan ini dijangka bakal menyingkap misteri di sebalik asal-usul usul bangsa ‘Philistine’ yang disebut dalam Perjanjian Lama sebagai ‘musuh paling ketat bangsa Israel’.
Tanah perkuburan ditemui adalah hasil kerja cari gali selama 30 tahun di bawah seliaan Ekspedisi Leon Levy.




Menurut ketua ekspedisi, mereka menemui 145 kumpulan mayat dalam beberapa bilik pengebumian; sebahagian daripadanya dikelilingi oleh wangian, makanan, perhiasan dan senjata.

Mayat-mayat tersebut dikatakan bertarikh antara abad ke-8 hingga ke-11 sebelum Masihi.

“Selepas berdekad mengkaji tentang saki baki tinggalan bangsa ‘Philistine’, akhirnya kami dapat menemui sebahagian mereka,” ujar salah seorang penyelia misi penggalian itu, Daniel M. Master.
“Melalui penemuan ini, kita semakin hampir menyingkap rahsia asal usul mereka,” tambahnya lagi.

Hasil penemuan ekspedisi ini terpaksa dirahsiakan selama tiga tahun sehingga tamat proses penggalian; supaya tidak menarik perhatian penunjuk perasaan Yahudi ultra-ortodoks yang pernah berdemonstrasi di kawasan penggalian.

Penunjuk perasaan menganggap bahawa kerja-kerja penggalian itu sebagai membongkar dan menceroboh kawasan perkuburan.

“Kami terpaksa menyembunyikan perkara tersebut dalam tempoh yang lama,” ujar Master lagi.Para pengkaji berselisih pendapat tentang asal usul kedudukan geografi bangsa ‘Philistine’.

Sebahagian berpandangan mereka berasal dari Greece, kepulauan Crete atau Cyprus; serta ada berpandangan bahawa mereka berasal dari Anatolia, Turki.

Pasukan ekspedisi kini sedang menjalankan ujian DNA, ujian radiokarbon dan ujian–ujian lain ke atas sisa mayat yang ditemui untuk mengenal pasti asal usul mereka.

Menurut ketua misi ini, kebanyakan mayat tidak dikebumikan dengan barang-barang peribadi; tetapi sebahagian mayat dikelilingi botol minyak wangi, balang dan beberapa mangkuk kecil.

Selain itu, ada juga mayat yang dikebumikan dengan perhiasan; serta dan sebahagian yang lain dikebumikan bersama senjata.

“Ini adalah cara bangsa ‘Philistine’ menyempurnakan jenazah. Penemuan ini merungkai banyak rahsia,” ujar Adam Aja, ahli arkeologi yang turut menyertai misi itu.

Perjanjian Lama mencatatkan bahawa bangsa ‘Philistine’ merupakan musuh utama bangsa Israel kuno.

Mereka dipercayai telah berhijrah ke kawasan penemuan perkuburan itu pada abad ke-12 sebelum Masihi.

Menurut Perjanjian Lama, salah seorang bangsa ‘Philistine’ yang terkenal adalah Jalut yang telah dikalahkan oleh Nabi Daud AS sebelum baginda menjadi raja.


No comments:

Post a Comment