Monday 25 July 2016

Jangan dedah ruang kepada campur tangan asing – Hadi


Berita


Alor Setar 23 Julai - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan semua pihak agar tidak mendedahkan ruang kepada orang asing untuk mula campur tangan dalam urusan negara ini.

Dalam nada tegas beliau berkata, seperti rakyat lain, beliau sendiri mengharapkan agar siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjalan secara telus dan adil.



"Apa yang penting kes mesti disiasat dengan adil dan telus oleh kita sendiri. Jangan sampai orang boleh campur hal kita dan kalau itu berlaku, itu silap kita sendiri.

"Sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu bercuti atau berhenti itu bukan urusan saya. Kita mahu ambil alih kerajaan secara demokratik dan bermoral," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat di Kompleks Pas Kedah di Batu 9, Kota Sarang Semut di sini hari ini.

Kira-kira 15,000 orang mengunjungi majlis tersebut yang dihadiri kesemua pimpinan tertinggi Pas termasuk Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man serta Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan.
Mengulas mengenai perancangan Kerajaan DAP Pulau Pinang mahu mengadakan pilihan raya negeri (PRN) mengejut, beliau berkata, Pas bersedia dengan apa jua kemungkinan termasuk untuk bertanding secara bersendirian di negeri itu.

"Itu terpulang kepada kerajaan negeri Pulau Pinang kerana kami bersedia masuk pilihan raya pada bila-bila masa dan di mana saja.

"Kita ada kekuatan di Pulau Pinang bahkan DAP dan PKR yang sepatutnya sedar bahawa mereka selama ini bergantung kepada akar umbi serta cawangan Pas di Pulau Pinang. Kita ada sejarah di sana dan kita tahu kekuatan kita di sana," ujarnya.

Beliau dalam pada itu turut menempelak portal berita Malaysiakini yang didakwa hanya memetik separuh saja daripada kenyataan Tuan Ibrahim dalam Harakah berhubung 'gencatan senjata' antara Pas dan pakatan pembangkang bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN).


"Malaysiakini petik separuh saja dan itu tidak adil. Pas ada sempadannya iaitu dasar menegakkan Islam dan sebarang pihak yang cuba mengheret Pas keluar daripada dasar ini, kami takkan terima," katanya.

No comments:

Post a Comment