Wednesday, 4 December 2013

Ulul Albab di sekolah harian tahun depan


KUALA TERENGGANU 2 Nov. - Kementerian Pendidikan dijangka mula memperkenalkan pelaksanaan program Ulul Albab sekurang-kurangnya di satu sekolah harian di setiap negeri mulai tahun depan.
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh walau bagaimanapun berkata, jika sekolah yang terpilih belum bersedia dari aspek peralatan pembelajaran dan kemampuan penerimaan pelajar, pelaksanaan itu boleh ditangguhkan ke tahun seterusnya.

Menurut beliau, program berkenaan yang diterap melalui pengubahsuaian kurikulum sedia ada bakal dilaksanakan secara berperingkat di sekolah rendah dan menengah bagi memberi penekanan lebih berkesan dan menyeluruh ke arah melahirkan generasi seimbang.

"Untuk memantapkan kurikulum pengajian Islam di seluruh sekolah terutama di sekolah menengah harian dan sekolah menengah agama, kita akan mengenal pasti sekurang-kurangnya satu sekolah di setiap negeri bagi tujuan itu.

"Insya-Allah, program itu akan bermula tahun depan atau tahun selepasnya mengikut kemampuan sekolah masing-masing," katanya selepas menyempurnakan penutup Majlis Khatam al-Quran Perdana dan pertandingan Kalam Jama'ie Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Program Ulul Albab berteraskan tiga komponen utama iaitu Quranik, Ensaiklopedik dan Ijtihadik ke arah melahirkan generasi seimbang dari segi kecemerlangan akademik, ilmu agama dan berkeperibadian Islam.
Program ini telah diterapkan di rangkaian Sekolah Menengah Imtiaz kelolaan Yayasan Terengganu dan diperluaskan ke beberapa Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Sementara itu, Idris berkata, kementerian akan memanjangkan program Khatam al-Quran yang merupakan tradisi ulama secara berterusan ke sekolah-sekolah melalui program Jawi, al-Quran dan Fardu Ain (j-Qaf) yang dilancarkan pada tahun 2005.

"Sejak itu, kita lihat perkembangan demi perkembangan pengajian Islam yang lebih mantap di sekolah-sekolah. Kali ini ditambah pula dengan Bahasa Arab melalui Arabic Chorus Speaking (pertuturan) dalam pertandingan Kalam Jama'ie.

"Melalui pelaksanaan program j-QAF ini, kebanyakan pelajar bukan saja mampu khatam al-Quran lebih awal iaitu sebelum menjejak kaki ke sekolah menengah malah dapat menguasai bahasa Arab dengan baik.
"Apa yang membanggakan, minat pelajar terhadap bahasa Arab terus meningkat sehingga mampu mengikuti program 'coral speaking' dalam bahasa itu dengan baik," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131103/dn_04/Ulul-Albab-di-sekolah-harian-tahun-depan#ixzz2mUvzrlK9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment